Posted by: ayah.biz | Disember 21, 2010

Penamaan KWSP Pastikan Bayaran Segera Kepada Orang Tersayang


Kempen Media Kedua Galakkan Ahli KWSP Menamakan Penama Mereka

Sertai kempen Facebook Jom Namakan Orang Tersayang
untuk pastikan kenalan-kenalan anda juga ambil tindakan yang bijak.

Berikutan kejayaan kempen penamaan yang dilancarkan tahun lalu, KWSP akan melancarkan siri kedua kempen media melalui radio dan akhbar mulai 13 Disember hingga 26 Disember 2010 bagi menggalakkan lebih ramai ahli membuat penamaan mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata: “Di sebalik kejayaan kempen sebelum ini yang telah menarik hampir sejuta ahli membuat penamaan berbanding tahun sebelumnya, KWSP masih belum berpuas hati dengan jumlah ini. KWSP berharap dengan kempen pengiklanan kali ini, lebih ramai ahli akan menyedari kepentingan membuat penamaan.”

Setakat suku ketiga 2010, seramai 4.25 juta ahli KWSP telah membuat penamaan berbanding 3.29 juta ahli pada tempoh yang sama tahun lepas.

“KWSP menyeru ahli yang mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 dalam simpanan mereka tetapi masih belum membuat penamaan agar berbuat demikian dengan segera. Amaun ini cukup besar untuk disalurkan kepada tanggungan mereka dan dengan membuat penamaan akan memastikan simpanan ini dibayar dengan segera tanpa melalui proses yang sukar dan lama,” kata beliau.

Kempen pengiklanan ini turut disokong dengan promosi yang diadakan melalui kaunter-kaunter perkhidmatan dan Pusat Panggilan KWSP.

“Membuat penamaan merupakan perkara yang penting dan kegagalan berbuat demikian akan memberikan kesan mendalam terhadap kehidupan orang tersayang dan tanggungan mereka,” kata Nik Affendi.

Menurut beliau, tanpa penamaan keluarga atau waris terdekat ahli yang meninggal dunia akan melalui proses yang sukar dan memakan masa lama untuk menuntut simpanan ahli. Ini melibatkan pengeluaran Surat Kuasa Mentadbir, Sijil Probet atau Perintah Pembahagian dari pihak berkuasa yang berkenaan bagi menyokong permohonan mereka dan bayaran mungkin dikenakan oleh pihak yang mengeluarkan dokumen tersebut. Bagaimanapun, proses ini perlu sebagai langkah mencegah penipuan dan untuk memastikan simpanan hari tua itu diberikan kepada mereka yang benar-benar berhak.

Bagi ahli yang bukan beragama Islam, simpanan tersebut akan diagihkan terus kepada penama manakala ahli yang beragama Islam, penama akan bertindak sebagai pentadbir (wasi) yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan tersebut mengikut Hukum Faraid. Penamaan juga mengatasi wasiat bertulis.

Untuk membuat penamaan, ahli hanya perlu mengisi Borang KWSP 4 dan menyerahkan segera borang yang lengkap diisi kepada cawangan KWSP berdekatan. Prosedur ini hanya mengambil masa beberapa minit. Borang tersebut boleh diperoleh dari Cawangan KWSP terdekat atau memuat turun dari laman web myEPF di http://www.kwsp.gov.my. Penamaan akan berkuatkuasa dari tarikh borang penamaan yang lengkap diterima oleh mana-mana pejabat KWSP.

“Bagi mengelakkan kesulitan, perselisihan dan penderitaan, KWSP menggalakkan ahli-ahlinya untuk membuat penamaan dan sentiasa mengemaskini penamaan mereka. Adalah lebih baik penamaan ahli dikemaskini dari semasa ke semasa terutamanya jika berlaku perubahan dalam hidup seperti berkahwin, ditakdirkan bercerai atau mendapat cahaya mata,” kata Nik Affendi.

Untuk keterangan lanjut, sila klik pautan di bawah, hubungi Pusat Panggilan di 03-8922 6000 atau kunjungi cawangan KWSP yang terdekat.

Sumber: http://www.kwsp.gov.my/index.php?ch=p2news&pg=bm_p2news_press&ac=3425


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: