Posted by: ayah.biz | Januari 7, 2010

Tuntut harta sepencarian


ARKIB : 01/01/2010

Tuntut harta sepencarian

SOALAN:

Saya telah bercerai dengan bekas suami lebih kurang 3 tahun. Sejak bercerai, suami langsung tidak pernah memberi nafkah anak termasuk nafkah idah saya.

Bekas suami saya seorang yang panas baran dan sering memukul saya semasa kami masih menjadi suami isteri.

Semasa perkahwinan, suami ada membeli sebuah rumah tetapi nama saya tidak dimasukkan sebagai pembeli bersama namun, saya ada mengeluarkan wang saya bagi pembelian rumah itu juga mengambil pinjaman peribadi bagi pengubahsuaian rumah tersebut dan masih menanggung hutang pinjaman peribadi itu.

Bolehkah saya mendapatkan hak saya dan anak-anak dan menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian? Harap pihak puan dapat memberikan jalan dan panduan yang saya boleh gunakan bagi mendapatkan semula hak saya dan anak-anak yang selama ini tidak terbela.

JAWAPAN:

Calar fizikal boleh diubati namun calar emosi akibat keganasan rumah tangga memerlukan masa untuk pulih. Sesebuah bahtera perkahwinan tidak terlepas dari hayunan ombak dan badai.

Bagaimanapun, dalam apa jua keadaan, Islam tidak menghalalkan penganiayaan suami ke atas isteri. Bagi rumah tangga yang tidak boleh diselamatkan, penceraian adalah jalan terbaik. Puan telah mengambil jalan yang sewajarnya dengan melangkah keluar dari penderaan.

Segelintir kaum Adam beranggapan bahawa mereka bebas daripada tanggungjawab sebagai suami dan bapa selepas terlerai ikatan perkahwinan dengan isteri.

Realitinya, tanggungjawab mereka tidak berakhir di saat talak dilafazkan. Isteri yang diceraikan dan anak-anak masih mempunyai hak-hak yang perlu disempurnakan oleh seorang lelaki dalam kapasitinya sebagai bekas suami dan bapa.

Antara hak yang boleh dituntut seorang bekas isteri adalah nafkah idah. Ini bersandarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”.

Secara ringkasnya, hadis ini menggariskan bahawa seorang suami wajib membayar nafkah idah dan menyediakan tempat tinggal ketika bekas isteri di dalam tempoh idah.

Dalam kata lain, hak-hak ini adalah tertakluk kepada had masa idah mengikut ketetapan syarak.

Berdasarkan Surah Al-Baqarah, ayat 228 yang bermaksud: “Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru“, had masa idah yang ditetapkan oleh Islam adalah selama tiga quru atau tiga kali suci daripada kitaran haid. Puan ada menyatakan bahawa puan telah bercerai dengan bekas suami selama lebih kurang tiga tahun.

Walaupun Puan tidak menuntut nafkah ketika dalam tempoh idah, hak ini tidak luput dan masih boleh dituntut lagi kerana ia dianggap sebagai hutang dan selagi ia tidak berbayar maka ia dianggap tertunggak dan terhutang. Ini juga menurut, seksyen 65(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) dengan jelasnya menyatakan ‘Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh idah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz’.

Bekas suami puan juga masih berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anaknya. Putusnya ikatan perkahwinan tidak bermaksud putusnya pertalian seorang bapa dengan anak-anaknya. Surah Al-Baqarah, ayat 223 menyebut: “. . . dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil“. Intipati ayat ini dimaktubkan dalam S.72 yang mewajibkan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak, tidak kira sama ada anak-anak itu di bawah jagaannya atau orang lain.

Seksyen ini turut menetapkan bapa perlu menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran atau sebagai membayar kos kepada perkara-perkara tersebut.

Seksyen 59(1) mendefinisikan nafkah sebagai ‘. . . tempat tinggal, pakaian, makanan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya’.

Sebagai seorang yang berpendapatan tetap, mahkamah akan mempertimbangkan beberapa faktor seperti gaji bekas suami serta jumlah kewangan yang diperlukan anak-anak setiap bulan. Di samping itu, seksyen 62 turut memperuntukkan mahkamah kuasa untuk meminda perintah nafkah dan jika dia tidak mampu atau tidak dapat dikesan, mahkamah boleh memerintahkan keluarga bekas suami untuk memberi sumbangan nafkah di bawah seksyen 73(2).

Puan turut menyatakan bahawa puan menghadapi kesulitan dalam isu harta sepencarian. Tuntutan harta sepencarian adalah suatu perkara yang lazim berlaku selepas penceraian.

Harta sepencarian boleh diertikan sebagai harta alih atau tidak alih yang diperolehi secara bersama oleh suami dan isteri ketika di dalam ikatan perkahwinan berlandaskan hukum syarak.

Rumah kelamin walaupun tanpa ada nama puan adalah merupakan harta sepencarian. Menerusi seksyen 58, mahkamah berkuasa memerintah aset-aset yang diperolehi oleh pihak-pihak dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Antara faktor-faktor yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah adalah takat sumbangan pihak-pihak. Sumbangan ini boleh berbentuk wang seperti belanja pengubahsuaian, harta, atau kerja seperti menjaga rumah tersebut agar berterusan dalam keadaan baik. Seterusnya, mahkamah juga akan melihat pada hutang salah satu pihak yang telah diambil bagi manfaat bersama.

Oleh itu, jelas bahawa harta sepencarian memerlukan pembuktian yang kukuh. Adalah perlu bagi puan mengemukakan bukti-bukti pembayaran yang dibuat ke atas rumah tersebut. Ini termasuklah bayaran hutang dan juga pembayaran bagi pengubahsuaian yang telah dengan jelasnya menaikkan taraf rumah tersebut.

Pengemukaan bukti-bukti akan membantu dalam memperkasakan lagi tuntutan puan.Bekas suami puan tidak boleh menafikan hak-hak puan dan anak-anak.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: