Posted by: ayah.biz | Januari 2, 2010

Jangan takut papa apabila bersedekah


Ayah.biz: Artikel lama dari Utusan tapi baik untuk kita hayati kandungannya. Semoga membawa manfaat.

Jangan takut papa apabila bersedekah


Source: Utusan Malaysia Online
Tuesday, December 18, 2007

ALLAH berfirman: Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (di dunia akan) kebahagiaan di akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (dari kenikmatan) duniawi… (al-Qasas: 28)

Islam tidak menghalang umatnya mencari harta kekayaan untuk memastikan kehidupan yang selesa di dunia yang sementara ini.

Bagaimanapun, dalam ayat di atas, Allah mengingatkan umat Islam bahawa harta itu adalah cubaan kepada pemiliknya.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual timbalan Dekan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd. Nidzamuddin Zakaria bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apakah konsep pemilikan harta menurut Islam?

Konsep pemilikan harta ini bermaksud syariah Islam memberikan kuasa dan autoriti yang sepenuhnya kepada seseorang Muslim itu untuk memiliki dan menguruskan hartanya tanpa sebarang halangan selagi ia berlandaskan hukum-hukum syarak dan berpaksikan kejelasan niat yakni mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dalam setiap acara kehidupan kita. Ini adalah kerana Islam adalah agama yang tidak menolak dunia dan tidak juga mengenepikan kepentingan harta manusia.

Al-Quran sendiri menyebutkan perihal harta ini sebanyak 80 kali. Para sahabat pula bukan hanya golongan fakir dan miskin, malah ada segolongan mereka yang sangat mantap ekonomi dan terkenal dengan kekayaan mereka seperti Abu Bakar as-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Suhaib al-Rumi dan lain-lain, pada masa yang sama, mereka adalah penderma dan penyumbang utama kepada proses dakwah Islam, pembangunan masyarakat dan pembangunan negara.

Jadi, Islam memandang peri pentingnya keseimbangan urusan dunia dan akhirat, hal ehwal ekonomi dan ibadat. Ini terserlah melalui doa mathur Nabi s.a.w. bermaksud: Ya Allah, perbaikilah urusan agamaku yang menjadi pegangan bagi setiap urusanku. Perbaikilah duniaku yang di situlah urusan kehidupanku. Perbaikilah akhiratku yang ke sanalah aku akan kembali. Jadikanlah hidupku ini sebagai tambahan kesempatan untuk memperbanyak amal kebajikan dan jadikanlah kematianku sebagai tempat peristirahatan dari setiap kejahatan.

Apakah pula tanggungjawab Muslim terhadap hartanya?

Semua orang mengidamkan kemewahan, kekayaan dan kekuasaan. Namun, berapa ramaikah yang bersedia memikul tanggungjawabnya dan menginsafi beratnya penghisaban Ilahi di padang raksasa bernama Mahsyar kelak? Inilah yang dikatakan sebagai akauntabiliti yang perlu ada dan disedari setiap Muslim hartawan berdasarkan peringatan Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat sehingga dia disoal empat perkara, iaitu; tentang usianya, pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya untuk apa telah dipergunakannya, tentang hartanya dari mana diperoleh dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah diamalkannya.” (riwayat al-Tirmizi).

Ringkasnya, tanggungjawab Muslim terhadap hartanya ada dua iaitu; Pertama, Mencari harta yang halal dan baik untuk diri dan keluarganya. Kedua, membelanjakan harta yang halal itu ke jalan Allah s.w..t termasuk memberi nafkah keluarga, menunaikan zakat, memberi bantuan atau derma kepada golongan kurang bernasib baik, menggunakannya untuk urusan ibadat tertentu (seperti haji dan umrah) dan lain-lain.

Harta adalah suatu yang disayangi oleh manusia. Bagaimana hendak melatih diri supaya menjadi orang yang berharta tetapi pemurah?

Tidak mengapa kita menyayangi harta dan tidak salah juga kita memiliki rumah yang besar, kenderaan yang hebat dan harta benda yang banyak. Namun biarlah semua itu hanya berada dalam pemilikan diri kita secara lahiriah dan bukan melekat di hati kita secara batin.

Ini adalah kerana, kalau harta sudah menakluki hati dan jiwa raga kita, maka sirnalah perasaan perhambaan kita pada Allah Yang Maha Kaya yang merupakan Pemilik Mutlak harta benda kita, lalu kita akan mendabik dada dan megah dengan ‘kekayaan kita’, wal’iazubillah.

Baginda pernah bersabda: Perumpamaan orang yang pemurah dan orang yang bersedekah seperti seorang lelaki yang memakai dua helai jubah atau dua helai baju besi bermula dari dadanya sehingga ke atas. Apabila orang yang pemurah apabila ingin memberi sedekah, maka baju itu longgar buatnya. Orang bakhil pula, apabila ingin bersedekah, maka baju itu menjadi rimas dan panas sehingga menutupi jari-jarinya dan tidak mampu melonggarkannya. (riwayat Bukhari)

Oleh itu, insafilah bahawa diri dan harta kita hanyalah pinjaman. Itulah harta kita selagi nyawa di kandung badan dan bukan apabila nyawa telah meninggalkan badan. Gunakanlah kekuatan jiwa dan akal kita untuk melawan nafsu serakah yang menggila dan terlalu cintakan harta. Ingatlah bahawa setiap harta yang dibelanjakan di jalan-Nya dijamin keberuntungan di dunia dan kebajikan yang berlipat ganda di akhirat sana. Usah dihiraukan berapa jumlah yang didermakan tapi yang penting ialah tindakan memberi sumbangan bakti tanpa ditangguh-tangguh lagi.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Satu dirham telah berjaya mendahului seratus ribu dirham! Seorang lelaki mempunyai dua keping dirham lalu ia mengambil satu daripadanya untuk disedekahkan manakala seorang lelaki lain pula (selepasnya) memiliki harta yang banyak, lalu mengeluarkan seratus ribu dirham dan bersedekah dengannya.” (riwayat al-Tirmizi)

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa niat yang ikhlas adalah teras utama amalan sedekah ini dan syarat terpenting ia diterima di sisi Allah s.w.t. lantaran sifat menunjuk-nunjuk itu hanya akan meranapkan ganjaran pahala ibadat itu sendiri.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyebut antara lainnya: “Sesungguhnya sedekah itu dapat mencegah kemurkaan Tuhan dan menjauhkan diri daripada kematian yang buruk”. Apakah pengajaran daripada hadis riwayat Tirmizi ini?

Hadis ini menegaskan bahawa amalan bersedekah amat dikasihi Allah s.w.t. bahkan ia boleh memadam kemurkaan Allah terhadap dosa-dosa yang dilakukan hamba-Nya. Sebab itulah Baginda dalam hadis yang lain menegaskan bahawa: Takutlah neraka walaupun dengan hanya menderma sebelah buah kurma. (riwayat Bukhari)

Lantaran sedekah itu dipandang mulia di sisi Allah s.w.t dan boleh menyelamatkan seseorang dari azab neraka Allah. Hadis ini juga menjelaskan bahawa fadilat amalan bersedekah antara lain menurut para ahli Hadis dapat menghindarkan diri seseorang daripada kematian yang buruk seperti kematian akibat kebakaran, kelemasan, kemalangan jalan, ditimpa bangunan atau dirasuki syaitan dan sebagainya.

Dalam al-Quran, Allah menyatakan yang harta itu adalah cubaan bagi manusia. Berdasarkan firman Allah: Sesungguhnya hartamu dan anak-anak hanyalah cubaan bagimu dan di sisi Allahlah pahala yang besar. (al-Taghabun: 15). Apakah maksud cubaan di sini?

Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya ada menghuraikan maksud cubaan ini secara terperinci. Secara asasnya, cubaan itu adalah ujian yang dikenakan oleh Allah s.w.t. terhadap hamba-hamba-Nya untuk melihat siapakah yang melakukan taat atau maksiat terhadap-Nya melalui harta benda dan anak-anak tersebut. Kita tidak boleh melarikan diri kita daripada fitnah dan ujian ini, namun kita dituntut mengendalikan secara saksama dan bijak.

Imam Ahmad dalam kitab musnadnya ada merakamkan suatu peristiwa semasa Rasulullah s.a.w. sedang memberikan khutbah, tiba-tiba jatuh dua orang cucu kesayangan Nabi bernama Hasan dan Husin yang berpakaian serba merah ketika berjalan di hadapan Baginda lalu Nabi bersabda: “Benarlah firman Allah bahawa hartamu dan anak-anak hanyalah cubaan bagimu.”

Justeru, janganlah sampai kesibukan mengumpulkan harta benda dan keasyikan melayan kerenah anak-anak melekakan kita daripada mengingati Allah. Contohnya berkelah atau membeli belah hingga lupakan solat. Malah, lebih berat lagi, sekiranya harta benda itu diperoleh secara haram dan digunakan dalam perkara-perkara yang maksiat lalu diberikan pula kepada anak-anak. Maka itulah satu ujian dan bala besar yang bakal menimpanya di hari kiamat kelak.

Apakah jaminan Allah kepada mereka yang berharta dan menginfaqkannya ke jalan Allah?

Jaminan Allah ini ada dinyatakan-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 261-262 yang bermaksud: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Jadi, usahlah ditakuti kepapaan di sebalik derma yang dilakukan dan jangan pula dirisaukan balasan Tuhan setelah sedekah itu dihulurkan. Harta yang disedekahkan kerana Allah, di jalan-Nya dan untuk kemaslahatan agama dan umat Islam akan subur dan dilimpahi berkat serta pahalanya pula berkembang dan berpanjangan hinggalah di negeri akhirat nanti.

Sumber: http://kota.ibfim.com/index.php?option=com_content&task=view&id=1154&Itemid=179


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: