Posted by: ayah.biz | April 5, 2009

Bank Rakyat agih dividen 15 peratus


Bank Rakyat agih dividen 15 peratus

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my

Tambahan lima peratus bagi keahlian 10 tahun

KUALA LUMPUR: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat), semalam mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus kepada ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008.

Bank itu turut memberikan bayaran tambahan lima peratus, iaitu dividen khas kepada mereka yang menjadi ahli bank itu selama 10 tahun dan ke atas.

Pembayaran dividen yang akan membabitkan pengagihan sejumlah RM320 juta akan dimasukkan ke dalam akaun ahlinya secara berperingkat, mulai esok.

Ketika ini, Bank Rakyat mempunyai 788,889 ahli, yang mana 787,488 adalah anggota individu (dengan pemilikan saham bernilai RM1.915 bilion) manakala 1,401 lagi adalah anggota koperasi (dengan pemilikan saham bernilai RM79.66 juta).

Mengumumkan kadar dividen itu ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata penetapan kadar dividen itu dibuat selepas mengambil kira prestasi ekonomi semasa yang masih dalam keadaan kurang memberangsangkan.

Katanya, penetapan itu turut mendapat persetujuan Bank Negara Malaysia yang menasihati bank koperasi itu berwaspada dan bijak dalam menguruskan portfolionya bagi menghadapi saat sukar pada masa depan.

Noh berkata, setakat ini, bank berkenaan masih mempunyai untung tertahan sebanyak kira-kira RM500 juta yang akan digunakan sebagai modal perbelanjaan bagi menjanakan lagi keuntungan tahun depan.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008, Bank Rakyat mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.234 bilion, meningkat 48.95 peratus daripada RM828.8 juta pada tempoh sama 2007.

Ia turut mempunyai jumlah aset berjumlah RM41.7 bilion, iaitu yang tertinggi bukan saja di kalangan sektor koperasi malah institusi perbankan Islam di Malaysia.

Jumlah aset bank itu mewakili lebih 70 peratus daripada jumlah aset koperasi dan 17.80 peratus daripada jumlah aset perbankan Islam.

Pada 2007, bank itu mengisytiharkan dividen sebanyak 20 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun, dan membabitkan pembayaran berjumlah RM397.5 juta kepada anggotanya.

Kadar dividen tertinggi pernah dibayar Bank Rakyat adalah sebanyak 30 peratus pada 1991, 1993 dan 1994.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan mesyuarat itu, Noh menyeru koperasi sedia ada saling bekerjasama dan mencontohi kejayaan Bank Rakyat supaya dapat menjadikan sektor itu sebagai penyumbang ketiga kepada pembangunan ekonomi negara.

Ketika ini, sektor koperasi menyumbang hanya satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan angka itu dijangka meningkat kepada lima peratus menjelang 2013.

Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim, Pengarah Urusannya Datuk Kamaruzaman Che Mat dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Mangsor Saad.

Di majlis itu juga Noh turut melancarkan laman web rasmi bagi Yayasan Bank Rakyat untuk membolehkan ahli mendapat maklumat berkaitan peranan serta bantuan yang ditawarkan yayasan itu.

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20090404235751/Article/index_html


Responses

  1. wah.. tak sangka bank rakyat begitu mengutungkan.. kenapa macam tak pernah tahu pasal ni?? *ke saya kurang membaca surat khabar, hahaha* selama ini saya ingat asb sahaja yang mengagihkan dividen terbanyak.. pada pendapat anda adakah pelaburan lain lagi yang mendatangkan keuntungan yang sebegini banyak? memang menjadi semua keutamaan pelabur untuk mendapat pulangan tertinggi di pelaburan yang mempunyai risk paling rendah..🙂


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: