Posted by: ayah.biz | Februari 13, 2009

Penguasaan pasaran takaful tersasar


Penguasaan pasaran takaful tersasar

SYED MOHEEB SYED KAMARULZAMAN


PETALING JAYA 27 Jan. – Sasaran perkongsian pasaran industri takaful negara sebanyak 20 peratus menjelang 2010 yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin akan tersasar atau terlewat ekoran krisis kewangan global yang melanda sekarang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, kegawatan itu juga menyebabkan kebanyakan pemegang insurans menyerahkan semula polisi mereka sebagai cara untuk mengawal perbelanjaan terutamanya bagi insurans nyawa.

‘‘Bagi individu, trend pemulangan semula polisi telah dikesan sejak empat bulan yang lalu kerana mereka mula merasakan kesempitan dan langkah tersebut diambil sebagai cara mengawal perbelanjaan. Dijangkakan kadar serah semula polisi ini akan meningkat sehingga 20 peratus berbanding 10 peratus sebelum ini.

‘‘Bagi sektor korporat pula, kami menjangkakan majikan akan melakukan sedikit perubahan terhadap polisi insurans sedia ada bagi mengurangkan jumlah bayaran premium manakala bagi insurans kenderaan jumlah sumbangan akan menjadi lebih rendah menyebabkan pengendali takaful terpaksa menanggung nisbah kerugian yang tinggi,’’ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, bagi insurans bukan kenderaan pula seperti bangunan, nilai yang diinsurankan juga akan mengalami penurunan menyebabkan nilai bangunan akan menjadi lebih rendah dari harga pasaran, tambahnya.

Selain daripada itu, keuntungan pelaburan yang dilaksanakan melalui skim Wakalah juga akan merosot ekoran suasana yang tidak begitu menggalakkan.

Ini ditambah pula dengan kejatuhan produk berasaskan Syariah sehingga 22 peratus menyebabkan keuntungan amat sukar untuk diperoleh.

Beliau menjelaskan, melalui skim Wakalah setiap keuntungan yang diperoleh melalui pelaburan yang dibuat daripada tabung pemegang amanah akan dimasukkan semula ke dalam akaun.

Walaupun begitu, dengan mengambil kira kegawatan kewangan global akan kembali pulih pada pertengahan tahun ini, beliau mengunjurkan perkongsian pasaran bagi industri takaful akan berada di antara 15 peratus hingga 17 peratus pada penghujung tahun 2010.

Bagi penghujung 2008, beliau menjangkakan pertumbuhan antara 10 peratus sehingga 12 peratus memandangkan pengendali takaful negara telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sejak tahun 2000.

Dari segi penembusan pasaran pula, Syed Moheeb memberitahu, pada awal 2008 penembusan takaful telah meningkat kepada 6.4 peratus berbanding kurang daripada dua peratus pada 2000.

Kesemua peningkatan tersebut merupakan hasil inisiatif yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selepas berlakunya krisis ekonomi pada tahun 1998 melalui Pelan Induk Sektor Kewangan yang dilaksanakan pada tahun 2000 bagi meningkatkan penguasaan sektor kewangan Islam.

Tindakan BNM untuk mengeluarkan lebih banyak lesen pengendali takaful juga membolehkan sasaran untuk mencapai perkongsian pasaran sehingga 20 peratus dicapai dengan mudah.

Pada masa ini, terdapat lapan pengendali takaful di negara ini berbanding hanya dua sahaja pada tahun 2000, tambah beliau.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0128&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm&arc=hive


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: