Posted by: ayah.biz | Januari 19, 2009

Di luar lingkaran: ‘Mengarusperdana’ sistem ekonomi Islam


Di luar lingkaran: ‘Mengarusperdana’ sistem ekonomi Islam

Oleh Johan Jaaffar
zulujj@tm.net.my

Laluan sukar, berliku ekoran persepsi dan bias

SELAMA empat hari, ilmuwan, cendekiawan, sarjana, ahli ekonomi dan pemikir Muslim berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam Kongres Ekonomi Islam Ketiga. Program anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) itu membawa tema ‘Menggerak Potensi Memperkaya Ekonomi Ummah.’ Kongres ini secara ironis berlangsung sewaktu dunia sedang menyaksikan keganasan tentera Israel di Gaza yang sehingga ini mengorbankan lebih 1,000 nyawa rakyat Palestin sementara 4,000 yang lain cedera.

Sudah pastilah kongres ini membawa makna yang tersendiri dalam konteks keperluan serta urgencynya. Kelemahan ummah menjadi penyebab kenapa rejim Israel yang didokong oleh sponsornya boleh sewenang-wenangnya menggunakan kekerasan ke atas rakyat Palestin. Mereka boleh memperkecilkan bukan saja kemarahan umat Islam di seluruh dunia tetapi kecaman negara-negara berdaulat yang lain. Apa yang berlaku di Palestin menjelaskan juga perihal ketidakupayaan umat Islam yang berjumlah 1.3 bilion orang untuk berdepan dengan kuasa ketenteraan. Lebih penting lagi ialah negara-negara Islam rata-rata miskin dan ketinggalan.

Secara umumnya umat Islam pula mundur dari segi kemampuan ekonomi, penguasaan teknologi dan tradisi keilmuwan. Dalam konteks ekonomi yang berteraskan ilmu, umat Islam berada di pinggiran. Dalam usaha melahirkan pekerja ilmu (knowledge workers) juga umat Islam ketinggalan. Kita semua tahu pada masa ini kemajuan ditentukan oleh penguasaan ilmu dan teknologi.

Lebih malang lagi umat Islam tidak menguasai media – wahana penting dalam menentukan pandangan umum dan menawan hati dan perasaan (winning the hearts and minds). Maka itu ummah tidak dapat menentukan apa lagi mengawal agenda media hari ini sedangkan kita sedar bahawa maklumat itu kuasa dan siapa yang menguasai maklumat menguasai kuasa.

Hari ini umat Islam ‘didefinisikan’ oleh orang lain – pengamal media, kolumnis, pemikir dan ilmuwan – kerana mereka menguasai media. Mereka yang menentukan apakah makna ‘jihad’, ‘Islam militan’ malah ‘ekonomi Islam.’ Merekalah yang mencorakkan pemahaman umum tentang istilah dan konsep yang membabitkan Islam dan orang Islam. Seperti biasa kita gagal mengartikulasikan pendirian tentang politik dan juga tentang ekonomi.

Dalam konteks ekonomi Islam, kita tidak mempunyai keupayaan untuk menghujahkan pendirian kita di gelanggang ‘mereka.’ Kita tidak akan dapat ‘mengarusperdanakan’ konsep dan dan amalan sistem itu sekiranya kita gagal mengemukakannya kepada umum. Maka jadilah sistem itu sistem sampingan atau paling baikpun sistem yang selari dengan sistem yang kita anggap ‘konvensional.’ Malah akan wujud dua sistem yang berbeza, yang kita terima pakai hari ini – sistem ekonomi Islam dan sistem konvensional. Maka itu wujudlah dikotomi perbankan Islam, insurans Islam atau pajak gadai Islam sebagai alternatif pada sistem konvensional tadi.

Kita sebenarnya terseret dalam pemikiran ‘sistem alternatif’ ini hingga kita lupa bahawa sistem ekonomi Islam itu sebenarnya ialah The System. Tambahan pula dalam wacana arus perdana semasa, sistem ekonomi Islam ditempelak sebagai tidak lebih berusaha ‘mengislamkan’ sistem yang ada, yang dicipta oleh orang lain. Atau kita memberikan slant Islam pada kaedah ekonomi yang selama ini sudah teruji. Maka itu banyak sarjana Barat yang melihat gagasan ekonomi Islam tidak lebih satu fesyen dan kecenderungan semasa serta hasil rasa bersalah umat Islam kerana kegagalan menguasai sistem sedia ada.

Memang benar sistem perbankan konvensional yang terbesar pun mulai mengakui kuasa ekonomi umat Islam. Mereka menyedari keperluan sistem yang dilandaskan pada hukum syariah. Mereka menyedari minyak memberikan kekayaan luar biasa pada negara-negara Islam terutama di Asia Barat. Mereka sedar kuasa beli umat Islam akibat kekayaan dan kejayaan perniagaan mereka. Mereka menyedari bahawa umat Islam adalah pelanggan yang mampu dan banyak menabung. Siapapun yang menguasai sistem perbankan hari – baik orang Yahudi, Cina atau mereka yang beragama Kristian – tidak ada pilihan melainkan mengambil kira pelanggan Muslim yang bertambah ramai itu.

Tidak hairanlah Indeks Dow Jones di New York, ibu negara kapitalis dunia, mengetengahkan penanda kaunter yang dilabelkan Islamic sejak sekian lama. Pada masa ini 1,400 kaunter tersenarai dalam Dow Jones Islamic Index. Dalam sistem perbankan konvensional, konsep seperti Al-Mudharabah, Al-Musyarakah, Bai’Bithamal Ajil, Dai’al-Dayn dan Al-Ijarah mulai menjadi popular. Tetapi semua ini hanya usaha untuk menarik pelanggan Muslim, bukan memastikan sistem ini menjadi sistem teras dalam perbankan dan sebagainya.

Dari satu segi, ia merupakan permulaan yang baik. Malah, apabila Malaysia mewujudkan Akta Perbankan Islam (IBA) pada tahun 1983 dan dengan penubuhan Bank Islam secara rasmi pada 1998, Malaysia sebenarnya mempelopori usaha strategik ke arah mengarusperdana sistem perbankan Islam.

Tetapi sistem ekonomi Islam banyak pengkritiknya. Seorang tokoh yang dianggap autoriti dalam soal sistem Islam menganggap bahawa tidak ada satu sistem yang boleh dianggap ‘Islamik’ dalam ekonomi seperti juga kita tidak boleh membina kapal, mempertahankan wilayah dan mengubat wabak ‘cara Islam.’ Malah gagasan sistem ekonomi Islam tidak lebih sekadar penonjolan identiti umat Islam. Malah menurut beliau, gagasan seperti inilah yang menyumbang pada pemikiran antimodernisme dan menggalakkan penolakan Muslim terhadap ‘Orang Lain.’ Pemikiran ‘kita’ dan ‘mereka’ ini juga mencambahkan fahaman militan di kalangan Muslim.

Tiada siapa yang boleh menjawab tohmahan seperti ini yang secara meluas diterima oleh media dan ilmuwan Barat. Kita harus secara jujur mengakui kita gagal dalam hal ini. Kita akan terus gagal menghujahkan pendirian kita sekiranya mengambil mudah peranan media hari ini. Ada yang mencadangkan tumpuan kita harus diberikan pada media alternatif – laman web dan sebagainya. Tetapi pendirian arus perdana terbina melalui stesen TV yang mengkhusus dalam bidang ekonomi seperti Bloomberg TV dan MSBC serta majalah arus perdana seperti Fortune, International Businessweek, Forbes dan sebagainya.

Kongres anjuran Yapeim ini merupakan langkah yang baik dan terpuji. Tetapi Yapeim dan organisasi ekonomi yang rasmi serta NGO ekonomi Muslim harus mengorak langkah bagi mengatur strategi masa depan memartabat sistem ini. Memang Yapeim nampaknya aktif dalam menggalakkan wacana ekonomi Muslim. Yapeim menerbitkan prosiding Konvensyen Ar-Rahnu Serantau pada tahun 2002 dan 2004. Ia sebenarnya merupakan skim mikro kredit. Pada waktu yang sama Bank Negara Malaysia pernah mengambil inisiatif mengadakan Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara pada 2006 yang membawa tema ‘Bai’al Al-‘Inah dan Tawarruq: Isu-isu dan Penyelesaiannya Dalam Konteks Kewangan Islam.’

Kita sudah memula langkah, tetapi jalannya masih jauh dan berliku. Sistem ekonomi Islam tidak terbangun dengan hanya mengadakan kongres. Tetapi kongres penting bagi mengingatkan kita hala tuju dan strategi masa depan. Juga kelemahan kita dalam mengaplikasi apa yang kita terima sebagai sistem yang kita mahukan.

Bagi memperkasa ekonomi ummah, kita memerlukan lebih daripada sekadar peralatan dan ilmu. Kita juga harus menarik pemahaman orang lain di luar sana. Peranan media tidak boleh dipandang ringan.

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090118025515/Article/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: