Posted by: ayah.biz | Disember 19, 2008

Kewangan Islam pamerkan evolusi, pertumbuhan kukuh


Kewangan Islam pamerkan evolusi, pertumbuhan kukuh

25/11/2008 9:20pm

PETALING JAYA 25 Nov. — Kewangan Islam terus mempamerkan evolusi dan pertumbuhan kukuhnya dalam tempoh persekitaran kewangan antarabangsa yang mencabar ini, kata gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini.

“Kewangan Islam kini telah menjadi jentera baru yang menyumbang kepada peningkatan hubungan kewangan bukan sahaja di Asia tetapi juga seluruh dunia, sekali gus mempermudahkan peruntukan sempadan bersilang modal sejagat,” kata Zeti.

“Malah, jumlah pusat kewangan antarabangsa telah mengiktiraf kewangan Islam sebagai bahagian dalaman sistem kewangan mereka dalam usaha melengkapkan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan, dan oleh itu mereka terus giat membangunkan segmen ini,” kata beliau pada majlis pelancaran HSBC Amanah Malaysia Bhd iaitu Bank Islam pertama dalam lingkungan kumpulan HSBC di sini.

Menurut Zeti, industri kewangan Islam bukan sahaja terus berkembang tetapi juga berjaya memperlihatkan tahap dinamik yang tinggi.

Petunjuk sektor perbankan Islam terus mencatatkan rentak perkembangan yang progresif di mana aset perbankan Islam telah mengembang 23 peratus kepada RM234.9 bilion berbanding setahun yang lepas, kata beliau.

Industri perbankan Islam kini menguasai 16.7 peratus daripada jumlah aset dalam industri, tambah beliau.

Trend yang sama boleh dilihat dalam pertumbuhan deposit yang telah mencecah RM180.4 bilion, menokok 27.7 peratus daripada setahun yang lepas, sementara jumlah pembiayaan mengukuh 24.5 peratus kepada RM143.4 bilion, kata Zeti.

“Pertumbuhan juga diiringi dengan peningkatan dalam jumlah cawangan perbankan Islam sepenuhnya,” kata beliau.

Daripada Januari hingga September tahun ini, 93 cawangan baru telah dibuka, sekali gus memperluaskan langkauan perkhidmatan dan produk kewangan Islam.

Satu lagi bidang yang telah menyaksikan pertumbuhan signifikan ialah sukuk atau pasarn bon Islam, kata Zeti.

Pasaran sukuk Malaysia telah mengembang dengan ketara pada kadar purata pertumbuhan tahunan 22 peratus sejak 2001, katanya.

“Meskipun dengan keadaan pasaran semasa yang telah menjejaskan jumlah terbitan bon dan sukuk baru, pasaran modal Islam terus menstrukturkan instrumen kewangan Islam yang inovatif,” kata Zeti.

Pada separuh pertama 2008, komposisi sukuk musharakah yang lebih inovatif telah meningkat kepada 84 peratus berbanding 58 peratus daripada jumlah terbitan sukuk pada 2007, kata beliau.

Menyentuh mengenai potensi peranan anak syarikat perbankan Islam asing, Zeti berkata dasar bagi penubuhan anak-anak syarikat adalah juga sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan langkauan kewangan Islam dan mengukuhkan hubungan antarabangsa.

“Ia mencerminkan sebahagian daripada liberalisasi selanjutnya industri perkhidmatan kewangan Islam di Malaysia,” kata beliau.

Zeti berkata anak syarikat asing mempunyai potensi untuk mempromosikan pembangunan produk inovatif dan menambah baik integrasi antarabangsa sistem kewangan Islam.

“Dengan memanfaatkan rangkaian global yang ada, anak-anak syarikat seberang laut berkedudukan baik untuk melibatkan diri dalam pembangunan produk inovatif dengan cara yang lebih cekap dari segi kos,” kata beliau.

Anak-anak syarikat seberang laut juga mempunyai peranan penting dalam meningkatkan hubungan antarabangsa industri kewangan Islam serantau dan antarabangsa, kata Zeti.

“Mengukuhkan perundangan, peraturan dan rangka kerja Syariah yang baik dan dengan tiga dekad pengalaman, sistem kewangan Islam kita menawarkan platform yang unik sebagai tempat pertemuan bagi mereka yang memerlukan dana dan mereka yang mempunyai dana yang banyak,” kata beliau.

— BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1125&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_26.htm&arc=hive


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: