Posted by: ayah.biz | Disember 16, 2008

Poll: Syarikat Takaful Mana Yang Terbaik?

Nota: Fikirkan respon anda berdasarkan perkhidmatan yang anda perolehi sepenuhnya dari agen-agen atau kakitangan-kakitangan syarikat-syarikat berkenaan.

Dari kaca mata saya – 21 Januari 2009:

Setelah hampir sebulan poll ini saya amati, sememangnya keputusannya sama seperti persepsi di pasaran.

Cuma perlu diingat, keputusan poll ini mungkin “bias” kerana ramai antara yang mengundi ialah para agen sendiri.

PruBSN : dikira seperti syarikat takaful terbaik kerana bilangan agennya yang banyak. Sokongan dari syarikat induk Prudential juga menjadikan dana Takaful Investment Link yang disediakan amat kompetitif.

Takaful Malaysia: Rata-rata setelah perubahan pengurusan baru makin jauh kebelakang. Setakat ini, produk-produk baru yang dilancarkan masih belum dapat dilihat keberkesanannya. Sistem Mudaraba,  yang unik sebelum ini, tidak lagi menjadi kekuatan syarikat Takaful ini.

Takaful Ikhlas: Dengan jumlah produk Takaful Am dan Keluarga yang dilancarkan, saya masih berharap Takaful Ikhlas boleh menjadi lebih kompetitif.

Etiqa Takaful: Walaupun dibelakangi oleh Maybank, ada yang tidak kena dengan perkhidmatan syarikat ini. Persepsi yang saya dapat dari orang ramai ialah harganya yang mahal dan pulangan yang tidak kompetitif.  Khidmat dari agen-agennya (ramai dari Takaful Nasional dahulu) juga masih boleh diperbaiki.

Syarikat-syarikat lain pula memang dijangkakan tidak mendapat undian yang banyak kerana banyak syarikat ini yang menumpukan perhatian mereka kepada pelanggan-pelanggan bank (seperti HSBC Amanah) dan mereka yang  mempunyai pelaburan yang tinggi (CIMB-Aviva).

-Ayah.biz-

Posted by: ayah.biz | Mac 3, 2014

Teknologi

Teknologi

Kita selalu ambil mudah apa yang kita dapat.

Posted by: ayah.biz | Mac 3, 2014

Kos haji kekal RM9,980

JERAI 1 Mac – Kos menunaikan ibadat haji tahun ini dikekalkan sebanyak RM9,980 bagi seorang jemaah walaupun kos sebenar mengalami kenaikan daripada RM15,575 tahun lalu kepada RM16,115 tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kos tersebut dikekalkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada jemaah haji negara ini.

“Setiap tahun ada kos bertambah seperti hotel penginapan dan pengangkutan termasuk kos penerbangan pergi balik dari Malaysia ke Arab Saudi.

“Selain itu, berlaku juga penambahan kos mutawif setiap tahun, namun kos untuk jemaah haji tahun ini masih kekal RM9,980,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, di sini hari ini.

Menurut Jamil Khir, walaupun kos untuk mengerjakan ibadat haji bagi jemaah negara ini antara yang termurah, perkhidmatan diberikan kepada jemaah kekal menjadi yang terbaik.

“Kita akan teruskan dengan memberi perkhidmatan terbaik dari segi pengurusan, penginapan dan pengangkutan kepada jemaah.

“Kuliah agama kepada jemaah juga akan diberikan secara berterusan dan kita juga ada talian khas untuk jemaah yang ada kemusykilan boleh terus menelefon atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pihak bertugas.

“Kita juga akan sentiasa melihat jika ada ruang yang boleh kita tambah baik serta apa-apa inovasi yang boleh kita lakukan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara ini,” katanya.

Jamil Khir yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, kuota haji untuk jemaah haji negara ini dikurangkan menjadi 22,000 memandangkan kerja-kerja pembangunan masih dijalankan di kota suci Mekah.

Katanya, kerajaan akan terus memohon dan merayu untuk mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 dengan Arab Saudi bagi memenuhi keperluan rakyat negara ini.

“Saya akan berangkat ke Jeddah Rabu ini untuk menghadiri mesyuarat khas mengenai persiapan haji musim akan datang dan kemukakan rayuan untuk menambah kuota jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140302/dn_10/Kos-haji-RM9980#ixzz2ute6MsYA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted by: ayah.biz | Julai 30, 2012

Agrobank lancar dua pinjaman biayai pesawah

Ayah.biz: “Sekiranya hasil padi musim tidak menjadi atau pesawah menerima kerugian, adakah Agrobank akan sama berkongsi kerugian tersebut?”

Agrobank melancarkan dua produk pembiayaan baru berlandaskan syariah, Paddy-i dan Paddy Cash-i, khusus untuk pengusaha sawah padi di seluruh negara.

Paddy-i menawarkan pembiayaan modal pusingan bagi tanaman padi yang lebih tinggi sehingga RM2,500 sehektar menerusi jumlah pembiayaan antara RM1,000 hingga RM50,000 dengan kadar keuntungan lebih rendah iaitu 3.2 peratus semusim atau enam bulan. Paddy Cash-i pula adalah pembiayaan peribadi untuk pesawah menerusi pembiayaan antara RM3,000 hingga RM50,000 dengan kadar keuntungan 3.1 peratus atas kadar pembiayaan asas untuk tempoh maksimum tujuh tahun atau 14 musim.
Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, berkata kedua-dua produk ini ditawarkan tanpa cagaran atau jaminan, dengan had umur yang dilanjutkan sehingga 70 tahun bagi Paddy-i dan 65 tahun bagi Paddy Cash-i.

“Kami memperuntukkan lebih RM50 juta untuk Paddy-i, manakala dana Paddy Cash-i pula adalah sebahagian daripada RM500 juta yang diperuntukkan di bawah pinjaman peribadi Agrobank tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran di Tanjung Karang, baru-baru ini. Majlis disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Agrobanklancarduapinjamanbiayaipesawah/Article/index_htm

Posted by: ayah.biz | Mei 14, 2011

8 Hak Pengguna yang Perlu diketahui

Hak-hak Pengguna

Pengguna yang bertanggungjawab adalah pengguna yang menyedari hak-haknya sebagai pengguna dan bertindak dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab.

Lapan hak pengguna yang perlu diketahui dan difahami ialah:

1. Hak untuk mendapatkan keperluan asas
Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini. Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya

2. Hak untuk mendapatkan keselamatan
Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.

3. Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

4. Hak untuk membuat pilihan
Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

5. Hak untuk bersuara
Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.

6. Hak untuk mendapatkan ganti rugi
Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan’ serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

7. Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

8. Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat
Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

Sumber:
http://www.kpdnkk.gov.my/web/guest/pengguna/hak-pengguna

Paparan : 2198
Dikemas kini pada : 25 November 2010

Posted by: ayah.biz | Mei 14, 2011

Bank Negara Malaysia LINK

Satu lagi khidmat BNM untuk rakyat Malaysia.

BNM Link

Bank Negara Malaysia LINK merupakan satu lagi saluran penting Bank Negara Malaysia untuk berhubung dengan orang ramai. Bank Negara Malaysia LINK berperanan sebagai sebuah pusat perhubungan untuk memudahkan maklum balas yang cepat dan cekap kepada orang ramai dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhubung dengan perkara-perkara berkaitan dengan sektor kewangan. Pameran, kios layan diri dan risalah di Bank Negara Malaysia LINK turut menyediakan pendidikan kewangan pengguna serta maklumat mengenai peranan Bank Negara Malaysia dalam pembinaan negara kepada orang ramai.

Bank Negara Malaysia LINK menyediakan khidmat pelanggan secara langsung kepada pelawat yang datang ke Bank Negara Malaysia untuk pertanyaan am dan aduan orang ramai. Kakitangan di Bank Negara Malaysia LINK sedia membantu dan menangani secara berkesan serta mengendalikan hal-hal dalam bidang perbankan, insurans, pembiayaan PKS, mata wang dan perkara-perkara lain yang di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia.

Pameran di Bank Negara Malaysia LINK menyediakan maklumat mengenai akses kepada pembiayaan, terutama sekali oleh PKS, serta maklumat perbankan konvensional dan perbankan Islam serta insurans dan takaful kepada orang ramai. Maklumat mengenai peranan dan tanggungjawab orang ramai mengenai produk dan perkhidmatan kewangan turut disediakan. Salah satu ruang pameran memfokuskan pada peranan dan fungsi Bank Negara Malaysia serta sejarah sumbangannya dalam membentuk ekonomi dan sektor kewangan negara semenjak dari tahun 1950-an sehingga kini.

Talian am Bank Negara Malaysia LINK :             +60(3) 2698 8044 begin_of_the_skype_highlighting            +60(3) 2698 8044      end_of_the_skype_highlighting       sambungan 8950 / 8958

Untuk keterangan lanjut sila layari:-

http://www.bnm.gov.my/bnmlink/bm/index.htm

Posted by: ayah.biz | Mei 10, 2011

Perbandingan takaful – pandangan seorang agen

Assalamualaikum,

Berikut adalah respon seorang agen mengenai undian “Syarikat Takaful mana yang terbaik?”.

Terima kasih diucapkan kepada Saudara Azwan kerana sudi berkongsi panjang lebar.

-Ayah.biz-

———————————————————————————–

Assalamulaikum,

Saya adalah perunding syarikat MAA Takaful. Saya disini cuma nak beri pendapat. Jika nak buat perbandingan, berikut adalah beberapa ciri penting yang perlu diambil kira;

1) Jenis Plan- Ordinary Life atau Investment Link

2) Flexibility- Pelan boleh diubahsuai mengikut citarasa & keutamaan peserta. Contoh; pelan investment link yang menyediakan perlindungan dan pelaburan dalam 1 pelan. Jika peserta memilih untuk fokus kepada pelaburan, perlindungan boleh dikurangkan dan sebaliknya, jika peserta mengutamakan perlindungan, jumlah perlindungan boleh dimaksimumkan.

3) Claim- sebaiknya suruh agent terangkan secara terperinci tentang prosedur & proses claim.

4) Fund performance- Perkara yang perlu diambilkira: capital gain, annual dividend, mudharabah..

5) Takaful charges- Yang ni paling penting! Harus berhati2 kerana kebanyakan agent tidak akan mendedahkan tentang perkara ni.

6) Cash Value- Kalau nak tahu cash value anda sekarang, sila hubungi nombor customer service yang tertera di dalam polisi takaful anda. Just nak berkongsi pengalaman saya berjumpa dengan peserta yang menyumbang RM1800 setahun, dalam sales illustration menunjukkan cash value pada tahun ketiga adalah sebanyak RM7xx, tetapi bila disemak, cash value yang sebenar hanya ada RM10.60. Puncanya?- takaful charges tinggi & fund performance yang tak berapa nk perform.

7) Agent- Biasanya, kebanyakan agent yang ada ciri2 berikut, tidak boleh dipercayai..
-selalu sangat sebut perkataan “guarantee”
-offer something yang toooo good to be true
contoh yang tengah hot sekarang ni; “guaranteed return 40% setiap tahun”
so hati2 ye..

—————————————————————————————

Sudahkah anda memberi undian anda?

Undi di Syarikat Takaful mana yang terbaik

-Ayah.biz-

Posted by: ayah.biz | Mei 10, 2011

Harga petrol Malaysia mahal?

Harga petrol Malaysia mahal?

Oleh ABU ZAYD SHAMSUL
PENULIS ialah eksekutif di syarikat konglomerat.

JIKA dibandingkan dengan tujuh buah negara jiran di Asia Tenggara, harga petrol di Malaysia ialah yang kedua termurah. Negara Asia Tenggara yang mempunyai harga petrol paling mahal ialah Singapura dengan harga RM5.14 (S$2.12) seliter bagi RON 95, diikuti Thailand (RM3.91), Filipina (RM3.90), Indonesia (RM3.18), Vietnam (RM3.14) dan yang paling murah ialah Brunei (RM1.28 untuk RON 97).

Sesetengah orang tidak suka menukar harga-harga petrol negara jiran kepada mata wang ringgit untuk tujuan perbandingan. Namun begitu, walaupun mata wang tidak ditukar, harga petrol di Malaysia masih juga antara yang termurah.

Sebagai contoh, seorang rakyat Singapura yang berpendapatan S$3,000 sebulan masih perlu membayar S$2.12 untuk seliter petrol RON 95, sedangkan seorang rakyat Malaysia yang berpendapatan RM3,000 sebulan hanya perlu membayar RM1.90 untuk kuantiti dan gred petrol yang sama.

Bagaimanapun, harga petrol di Malaysia tidaklah semurah di Brunei kerana negara berkenaan mampu memberikan subsidi yang lebih untuk petrol. Tidak seperti Malaysia, hampir keseluruhan pendapatan Brunei diperolehi daripada hasil pengeluaran minyak. Brunei juga memiliki populasi kecil yang tidak sampai pun jumlah populasi bandar Seremban, iaitu hanya 407,000. Malaysia sebaliknya memiliki populasi seramai 27.57 juta orang.

Berdasarkan data Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Brunei ialah negara keenam terkaya di dunia, satu tangga di belakang Amerika Syarikat dalam senarai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada pariti kuasa beli (PKB) per kapita terbanyak.

Malaysia hanya berada pada tangga ke-60 senarai ini. KDNK (PKB) ialah nilai kesemua keluaran (barangan dan perkhidmatan) sesebuah negara dalam setahun yang dibahagikan dengan jumlah penduduk negara tersebut.

Pembahagian ini penting untuk perbandingan yang lebih tepat kerana sebagai contohnya walaupun pendapatan Malaysia lebih besar daripada Brunei, jumlah penduduk Malaysia juga ialah 68 kali ganda lebih besar. Maka KDNK (PKB) adalah ukuran yang lebih digemari oleh ahli-ahli ekonomi bagi membandingkan kebajikan per kapita dan keadaan hidup serta penggunaan sumber negara-negara.

Malaysia sememangnya ialah negara pengeluar minyak, namun ia bukanlah pengeluar yang utama. Malaysia tidak pun layak untuk menganggotai Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) kerana ia lebih banyak mengimport minyak untuk kegunaan sendiri daripada mengeksportnya. Atas sebab yang sama juga, Indonesia terpaksa menarik diri daripada OPEC pada tahun 2008.

Berdasarkan maklumat Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA), Malaysia sekadar menduduki tempat ke-26 dalam senarai pengeluar minyak dunia dengan jumlah pengeluaran 703,920 tong sehari. Jika dibandingkan dengan sepuluh negara lain yang mengeluarkan antara 543,000 sehingga 1.13 juta tong minyak sehari, Malaysia memiliki harga petrol keempat termurah.

Negara yang memiliki harga termurah (RM0.82 untuk RON 97) antara sepuluh negara tersebut ialah Qatar, yang juga merupakan anggota OPEC. Ia diikuti oleh Oman (RM0.93 untuk RON 95). Kedua-dua negara tersebut memiliki jumlah pengeluaran minyak yang lebih besar daripada Malaysia.

Negara dengan harga petrol ketiga termurah pula ialah Mesir (RM1.38 untuk RON 95), namun dalam mata wang Mesir harganya ialah EGP2.75. Bayangkan sekiranya rakyat Malaysia perlu membayar RM2.75 untuk petrol gred terendah di pasaran, mungkin rusuhan sebesar di Mesir pula berlaku di sini.

Malaysia tidak mampu untuk menambah subsidi bagi menurunkan harga petrol kerana berdasarkan data Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), jumlah subsidi minyak Malaysia sudah pun yang tertinggi antara mana-mana negara Asia Tenggara, iaitu sebanyak 2.4 peratus daripada KDNK. Brunei, negara yang memiliki harga petrol terendah di Asia Tenggara pun sekadar membelanjakan 2.2 peratus sahaja daripada KDNK untuk subsidi minyak. Adalah perlu diingatkan bahawa KDNK Brunei (RM36.88 bilion) jauh lebih kecil berbanding Malaysia (RM682.66 bilion).

Pada November 2010, sidang kemuncak negara-negara ekonomi terbesar dunia, G20, yang diadakan di Seoul, Korea Selatan telah membuat deklarasi untuk menghentikan secara berperingkat (phase-out) subsidi minyak yang dikatakan tidak efisien dan menggalakkan pembaziran.

Menurut IMF, subsidi minyak lebih banyak menguntungkan golongan kaya berbanding golongan miskin. Berdasarkan kertas kerjanya yang diterbitkan pada 2007, untuk setiap unit sumber yang digunakan oleh golongan miskin, 3 hingga 5 unit atau lebih digunakan oleh golongan lebih kaya. Kertas kerja berkenaan turut mencadangkan subsidi minyak dihapuskan. Perbelanjaan untuk subsidi kemudiannya boleh dialihkan kepada usaha penambahbaikan kualiti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, infrastruktur dan mengurangkan cukai.

Selain daripada itu, subsidi minyak juga dianggap sebagai antara penyebab kenaikan harga minyak dunia. Menurut Financial Times, subsidi melindungi pengguna daripada harga borong minyak yang tinggi, tetapi kemudiannya turut meningkatkan permintaan minyak sekali gus mendorong kenaikan harga borong. Antara negara yang dilihat mengakibatkan kenaikan harga minyak dunia ialah China.

China yang merupakan negara terbesar di dunia (populasi 1.3 bilion orang), kini juga merupakan pasaran kereta terbesar di dunia (13.6 juta unit kereta dijual pada 2009) apabila mengatasi Amerika Syarikat (10.4 juta unit). Namun begitu, jumlah pengguna kereta yang sebegitu besar di China tidak perlu membayar harga sebenar untuk minyak, kerana mereka menerima subsidi 3.9 peratus daripada kos sebenar.

Situasi ini sudah pasti akan menggalakkan pembaziran minyak, seterusnya meningkatkan permintaan untuk bekalan yang lebih. Bayangkan apabila berjuta-juta pengguna kereta di negara terbesar di dunia menuntut bekalan minyak yang lebih, tidakkah ia sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada harga minyak dunia? Apabila China menaikkan harga petrol sebanyak 20 peratus pada Jun 2008, harga minyak dunia serta-merta menurun AS$5 setong.

Tekanan daripada G20 telah menyebabkan China mula mengambil langkah untuk mengurangkan subsidi. Harga produk-produk minyak telah diindekskan kepada harga-harga wajar minyak mentah antarabangsa pada 2008. Harga gas asli telah dinaikkan sebanyak 25 peratus pada Mei 2010, manakala tariff kuasa untuk industri intensif buruh telah dihapuskan.

Ketika kuasa ekonomi dan politik gergasi seperti China pun terpaksa tunduk kepada realiti pasaran, malangnya terdapat ‘kuasa-kuasa kerdil’ dalam negara kononnya lebih bijak apabila menabur janji untuk mencipta keajaiban “menurunkan harga petrol serta-merta”. Apa yang lebih pelik, walaupun janji mereka ini langsung tidak berpijak di bumi nyata, berduyun-duyun orang mempercayai janji ini, termasuklah golongan terpelajar.

Lihatlah betapa mudah janji ditabur oleh pihak yang tidak perlu memikul sebarang beban tanggungjawab untuk menjaga masa hadapan negara. Inilah contoh permainan politik populisme keji yang hanya bakal menjahanamkan negara.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0509&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive

Posted by: ayah.biz | Mei 4, 2011

Tambah Saham Bank Rakyat 2011

Saham Bank Rakyat 2011


Ramai yang tertunggu-tunggu peluang untuk menjadi ahli Bank Rakyat (Koperasi terbaik di Malaysia). Setelah lebih 5 tahun, baru-baru ini BNM memberi kebenaran kepada Bank Rakyat untuk menambah modal berbayarnya.

Sekarang mereka yang berumur lebih 18 tahun, boleh menjadi ahli dengan saham maksima RM500 seorang.

Bagi yang sudah menjadi ahli,anda juga boleh menambah saham sehingga RM500.

Dengan pulangan 15%, pelaburan RM500 ini akan memberi anda lebihan dana sebanyak RM 75 setahun.

Tahun depan, dana ini pula anda boleh laburkan sebagai saham ahli Bank Persatuan – bank koperasi kedua di Malaysia, yang memberi pulangan sebanyak 10% (2009).

Sudahkah anda menjadi ahli?
Kongsi pendapat anda di sini untuk kebaikan bersama.

Selamat melabur,
-Ayah.biz-

Posted by: ayah.biz | Mei 4, 2011

Tips kewangan Bahasa Inggeris (AKPK)

Tips to Manage your debts and finances

AGENSI KAUNSELING DAN PENGURUSAN KREDIT (AKPK)

Posted by: ayah.biz | April 27, 2011

Berita Harian: Harga emas kekal tinggi

Harga emas kekal tinggi

2011/04/21

pix_gal0

Logam pelaburan paling selamat lepasi paras AS$1,500 seauns

HARGA emas buat pertama kali dalam sejarah melepasi paras AS$1,500 (RM4,524) seauns semalam, apabila kelemahan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) ditambah pula dengan kebimbangan terhadap kadar inflasi yang tinggi serta krisis hutang yang membelenggu negara Eropah menyebabkan pelabur beralih membeli logam yang dianggap pelindung nilai paling selamat itu.

Harga logam itu mencecah AS$1,502.32 seauns pada satu ketika dalam sesi dagangan di Pasaran Jongkong London semalam sebelum ditutup pada AS$1,499.32 seauns.

Harga logam perak turut mencatatkan harga tertingginya dalam tempoh 31 tahun semalam iaitu AS$44.48 seauns.

“Harga emas kekal tinggi, apabila tekanan inflasi jangka pendek dan ketidaktentuan ekonomi telah mencetuskan peralihan kepada pelaburan lebih selamat,” kata Penganalisis Komoditi Kumpulan Kewangan Rusia, VTB Capital, Andrey Kryuchenkov.

Emas dilihat sebagai pelindung nilai paling selamat dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.

Harga emas mula melonjak untuk bergerak ke paras AS$1,500 pada Isnin lalu selepas agensi penarafan antarabangsa, Standard & Poor’s (S&P) menyemak semula tinjauan penarafan hutang kedaulatan AS kepada negatif daripada stabil.
Penarafan S&P itu mencabar penarafan ‘AAA’ Washington, apabila ia memberi amaran bahawa ahli politik AS dilihat tidak mampu menyetujui pelan untuk mengurangkan defisit bajet yang besar, iaitu kira-kira 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.

Penurunan penarafan itu juga mengheret turun harga saham dunia pada Isnin, di tengah-tengah meningkatnya kebimbangan terhadap inflasi dengan China, India dan zon euro bergelut untuk membendung kenaikan harga.

Minggu lalu, firma perunding logam, GFMS mengunjurkan harga emas akan melonjak melepasi paras AS$1,600 tahun ini, dipacu terutama oleh kebimbangan ke atas inflasi yang tinggi.

Kryuchenkov berkata: “Emas melonjak selepas S&P menurunkan penarafan tinjauan hutang kedaulatan AS kepada negatif dan ia dibuat ketika adanya kebimbangan mengenai masalah ekonomi susulan kemunculan semula masalah hutang di zon euro.”

Harga emas telah meningkat enam peratus sejak awal tahun ini, memecah beberapa siri rekod tertingginya sepanjang tempoh itu.

Harganya melepasi paras AS$1,000 buat kali pertama pada Mac 2008.

“Emas akan terus menjadi tumpuan pelabur selagi kebimbangan terhadap inflasi dan hutang berterusan,” kata Penganalisis kumpulan perdagangan Spread Co, Ian O’Sullivan. – AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hargaemaskekaltinggi/Article/index_html

Older Posts »

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 57 other followers