Posted by: ayah.biz | Disember 6, 2008

Tip memilih polisi terbaik untuk lelaki bujang dan berkeluarga


Tanya Pakar: Insurans dan lelaki

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Tip memilih polisi terbaik untuk lelaki bujang dan berkeluarga

JIKA dilihat senario masa kini, masih ramai antara kita belum memiliki polisi insurans. Tidak kiralah pakej berteras insuran nyawa, perubatan, pendidikan mahupun pelaburan, kepentingan memiliki insurans masih kabur  di mata masyarakat terutama kaum Melayu.

Situasi ini jelas menunjukkan amalan memiliki insurans masih baru berikutan tiada didikan serta kesedaran pentingnya dilindungi pakej insurans. Apatah lagi dalam persekitaran hidup era ini yang mencabar baik dari aspek ekonomi, keselamatan dan kesihatan.

Bagi sesetengah pihak, insurans dilihat sebagai beban. Ini kerana terpaksa memperuntukkan sebahagian daripada gaji untuk membayar premium, sedangkan pulangan dan manfaatnya entah bila dirasakan. Apabila berlaku sesuatu kejadian mahupun malapetaka, barulah kepentingan dan faedah polisi insurans dapat dimanfaatkan.

Faktor �sayangkan duit� sering menjadi punca enggan memiliki polisi insurans. Bagi segelintir pihak, purata bayaran premium serendah RM80, RM150 atau RM300 sebulan dilihat sebagai beban. Ini membentuk mentaliti masyarakat yang sering mengelak setiap kali didatangi ejen insurans.

Lelaki yang menjadi harapan keluarga malah bertindak sebagai ketua adalah individu penting yang perlu dilindungi insurans. Bukan mahu memperjudikan nyawa serta meletakkan nasib malang di bahu lelaki semata-mata, ia sebenarnya berbalik kepada kesan jangka masa panjang serta perlindungan yang bakal dinikmati mereka sendiri.

Mengulas kepentingan memiliki polisi insurans serta kesannya kepada golongan lelaki, Perunding Insurans Prudential BSN Takaful, Adie Mudzaffar Mohamad Sani tidak menafikan masyarakat secara keseluruhan belum didedahkan faedah memiliki polisi insurans.

Adie Mudzaffar berkata, lelaki yang menjadi pendukung keluarga tidak melihat kepentingan diri mereka dilindungi. Ini secara tidak langsung meletakkan nasib serta masa depan keluarga dan serta insan tersayang di ambang risiko.

�Bayangkan jika seseorang lelaki itu tidak dilindungi insurans dan terbabit pula dengan kemalangan, adakah sekadar perubatan di hospital memadai untuk merawat kos perubatan sedangkan dia mampu mendapat rawatan selanjutnya di hospital swasta serta menerima insentif bantuan kewangan sepanjang tempoh rawatan,� kata personaliti ini.

Bersama Tanya Pakar, Adie Mudzaffar, 29, yang berkhidmat selama enam tahun dengan agensi Prudential, Al Isra� Associates Sdn Bhd berkongsi pengalaman serta mengulas persepsi umum terhadap insurans dan perlindungan.

Secara peribadi, bagaimana anda melihat kepentingan memiliki insurans?

Selama enam tahun saya berkecimpung dalam dunia insurans, terus terang saya katakan kecenderungan masyarakat khususnya Melayu dalam memiliki insurans masih rendah.

Boleh saya katakan 90 peratus daripada populasi Bumiputera di Malaysia masih belum dilindungi insurans. Sedangkan, insurans itu sendiri memberi kelebihan cukup besar kepada individu serta keluarganya pada waktu sekarang dan masa depan. Bukan saja memberi perlindungan dari segi perubatan dan nyawa, skop insurans jauh lebih besar sebagai suatu tabungan kepada individu itu sendiri pada waktu tua kelak.

Pada pandangan anda, apakah yang menyebabkan tidak mahu memiliki polisi insurans?

Ini berbalik pada didikan budaya masyarakat itu sendiri. Jika kita lihat masyarakat Melayu contohnya, budaya menabung itu sendiri bukanlah suatu tabiat sejak dulu lagi. Apatah lagi mengenai pemilikan insurans dalam isi rumah keluarga Melayu.

Keadaan bagaimanapun berbeza bagi masyarakat Cina. Mereka menjadikan budaya menabung serta tabiat memiliki polisi insurans sejak anak-anak masih kecil. Selain itu, timbul juga pandangan negatif memiliki insurans mengikut pandangan Islam sedangkan pakej seperti Skim Takaful Prudential yang berteraskan Islam ditawarkan sekarang.

Jadi apa punca sebenar orang ramai enggan memiliki insurans?

Punca utama adalah faktor kewangan. Apatah lagi kesan ekonomi dunia yang secara tidak langsung memberi pengaruh besar dalam perbelanjaan harian masyarakat. Ini lebih dirasai lelaki yang menjadi ketua keluarga lebih-lebih lagi jika isteri tidak bekerja dan membesarkan anak-anak di Kuala Lumpur. Diakui, sukar untuk lelaki menanggung kos kehidupan di kota serta pada masa sama memiliki insurans.

Apakah masih ada peluang golongan seumpama ini memiliki insurans?

Saya tidak kata, tidak. Ia berbalik kepada faktor kesedaran itu sendiri. Jika lelaki sebagai ketua keluarga menyedari kepentingan dirinya sebagai tunggak masa depan diri serta keluarga, insurans adalah jawapan terbaik dalam memastikan nasib keluarga terjamin. Bayangkan apabila diri tidak dilindungi, apa yang akan terjadi kepada nasib diri serta keluarganya pada masa depan?

Bagaimana menilai kemampuan seseorang untuk memiliki insurans?

Kebiasaannya, sebagai wakil insurans kita akan menilai jumlah pendapatan bulanan dimiliki individu dan aliran keluar masuk kewangannya. Sesuatu pakej insurans yang baik biasanya merangkumi 10 peratus nilai daripada jumlah keseluruhan pendapatan bulanan. Pakej ini tertakluk kepada skim perlindungan yang dikehendaki sama ada untuk simpanan, perubatan mahupun kedua-duanya sekali sebagaimana yang sering dilakukan pemilik insurans.

Bagaimana kita ingin mengetahui kelebihan sesuatu pakej insurans itu sendiri?

Penting untuk setiap daripada kita mengenali pakej insurans yang hendak ditawarkan. Selidiki latar belakang syarikat insurans serta kelebihan yang bakal dinikmati daripada pelaburan yang kita lakukan. Jangan sesekali terpedaya dengan tawaran serta pakej murah yang menawarkan insurans tanpa mengetahui butiran lanjut serta tuntutan yang boleh dilakukan di kemudian hari.

Seperti di Prudential sendiri ada banyak pakej yang ditawarkan seperti insurans perniagaan, unit amanah saham, skim takaful, perlindungan kesihatan, simpanan pendidikan, simpanan hari tua dan sebagainya.

Berbalik kepada persepsi, bagaimana untuk menangkis tanggapan negatif masyarakat mengenai pemilikan insurans?

Suatu ketika dulu, bila bercakap mengenai insurans orang akan melihat sebagai perlindungan kematian. Orang tidak berminat untuk bercerita mengenai kematian. Ini cerita 10 tahun dulu di mana pakej insurans banyak menjurus kepada pelan insurans nyawa yang memberi imbuhan kepada ahli keluarga jika pemilik insurans meninggal dunia.

Ketika ini, banyak pakej yang dinikmati pemilik insurans seperti bantuan perubahan, kecemasan, pakej simpanan hari tua dan sebagainya.

Apakah yang bakal dinikmati jika memiliki insurans?

Bukan saja faedah dirinya dilindungi, pemilik insuran lazimnya dibekal kad perubatan yang melayakkan dirinya menerima rawatan insentif di panel hospital swasta berdaftar. Hanya perlu menunjukkan kad perubatan insurans, pesakit layak mendapat rawatan pakar berbanding mereka yang tidak memiliki insurans.

Bukan itu saja, sepanjang ditahan di hospital, pemilik insurans juga dibayar. Bukankah itu menarik?

Bagaimana aliran pemilikan insurans sepanjang lima tahun kebelakangan ini?

Boleh saya katakan, dalam tempoh lima tahun ini semakin ramai di kalangan masyarakat khususnya Melayu dan mereka yang menetap di bandar memilih untuk memiliki insurans. Kesedaran ini semakin berkembang kerana memikirkan kesan jangka masa panjang untuk mendapatkan perlindungan terbaik untuk diri serta keluarga.

Kalau kita lihat hospital kerajaan hari ini juga menyediakan rawatan pakar di mana ia mengenakan kadar bayaran tinggi untuk pesakit yang memerlukan rawatan. Sebab itu harus kita fikirkan kembali pentingnya memiliki insurans.

Pada pandangan anda, bagaimana mahu mengubah persepsi masyarakat mengenai kelebihan memiliki insurans?

Ia harus didik sejak kecil dan bermula dari peringkat sekolah. Menjadi tanggungjawab wakil insurans juga mendekati masyarakat untuk memastikan yang mereka faham dan sedar pentingnya memiliki insurans dalam persekitaran cukup mencabar hari ini.

Jika kita lihat berdasarkan sesetengah pelan perlindungan insurans itu sendiri, ada pelan khusus untuk individu termasuklah wanita. Bagaimana pula dengan pelan insurans lelaki?

Menyentuh mengenai pelan yang ditawarkan di Prudential, memang tidak dinafikan wanita mempunyai pelan khusus seperti Prulady dan yang terbaru Takaful Puteri. Lelaki mempunyai pelan secara keseluruhan mengikut kesesuaian dirinya. Buat masa ini, belum ada lagi pelan khusus untuk lelaki.

Dari sudut populasi jantina pula, siapa lebih banyak memiliki insurans, lelaki atau wanita? Apakah faktor yang menyumbang kepada perangkaan itu?

Mengikut sumber yang kita boleh percayai, tidak dinafikan lelaki lebih ramai memiliki insurans berbanding wanita. Mungkin disebabkan faktor kesedaran serta peranan lelaki sebagai ketua keluarga dan tanggungjawab mereka yang lebih besar menyebabkan mereka memilih untuk memiliki insurans.

Bagaimana seorang lelaki sebagai ketua keluarga berusaha melindungi keluarganya dengan insurans?

Dia masih boleh memiliki insurans menerusi pelan insurans berkelompok di mana setiap daripada ahli keluarganya dilindungi. Tetapi pelan ini tidak merangkumi perlindungan perubatan seperti insurans peribadi.

INFO: Adie

Nama: Adie Mudzaffar Mohamad Sani

Umur: 29 tahun

Tarikh lahir: 21 Februari 1979

Tempat lahir: Seremban, Negeri Sembilan

Tinggi: 178 sentimeter

Berat: 78 kilogram

Emel: adiemudzaffar@prupartner.com.my

TIP: Kenapa saya harus miliki insurans?

  • Sebagai persiapan jika ditimpa musibah, saya tidak tahu bila kemalangan akan menimpa.
  • Memiliki insurans ketika masih muda dan sihat boleh dapat pulangan lebih tinggi apabila tempoh matang insurans.
  • Sebagai simpanan masa depan untuk bekalan selepas pencen.
  • Kos pengajian semakin tinggi. Misalnya, anak saya perlu ada insurans untuk meringankan beban saya kelak.
  • Jadi peninggalan untuk anak dan waris jika saya meninggal dunia akibat musibah.
  • Insurans kesihatan perlu untuk menampung kos perubatan dan rawatan sekiranya saya dimasukkan ke hospital.
  • Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Xy/20081108111607/Article/

    About these ads

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    Kategori

    Ikut

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 48 other followers

    %d bloggers like this: