Posted by: ayah.biz | Disember 16, 2008

Poll: Syarikat Takaful Mana Yang Terbaik?

Nota: Fikirkan respon anda berdasarkan perkhidmatan yang anda perolehi sepenuhnya dari agen-agen atau kakitangan-kakitangan syarikat-syarikat berkenaan.

Dari kaca mata saya – 21 Januari 2009:

Setelah hampir sebulan poll ini saya amati, sememangnya keputusannya sama seperti persepsi di pasaran.

Cuma perlu diingat, keputusan poll ini mungkin “bias” kerana ramai antara yang mengundi ialah para agen sendiri.

PruBSN : dikira seperti syarikat takaful terbaik kerana bilangan agennya yang banyak. Sokongan dari syarikat induk Prudential juga menjadikan dana Takaful Investment Link yang disediakan amat kompetitif.

Takaful Malaysia: Rata-rata setelah perubahan pengurusan baru makin jauh kebelakang. Setakat ini, produk-produk baru yang dilancarkan masih belum dapat dilihat keberkesanannya. Sistem Mudaraba,  yang unik sebelum ini, tidak lagi menjadi kekuatan syarikat Takaful ini.

Takaful Ikhlas: Dengan jumlah produk Takaful Am dan Keluarga yang dilancarkan, saya masih berharap Takaful Ikhlas boleh menjadi lebih kompetitif.

Etiqa Takaful: Walaupun dibelakangi oleh Maybank, ada yang tidak kena dengan perkhidmatan syarikat ini. Persepsi yang saya dapat dari orang ramai ialah harganya yang mahal dan pulangan yang tidak kompetitif.  Khidmat dari agen-agennya (ramai dari Takaful Nasional dahulu) juga masih boleh diperbaiki.

Syarikat-syarikat lain pula memang dijangkakan tidak mendapat undian yang banyak kerana banyak syarikat ini yang menumpukan perhatian mereka kepada pelanggan-pelanggan bank (seperti HSBC Amanah) dan mereka yang  mempunyai pelaburan yang tinggi (CIMB-Aviva).

-Ayah.biz-

Posted by: ayah.biz | Februari 2, 2010

Ohh kereta baru

Apabila difikirkan, beli kereta terpakai lebih elok sebab harga murah. Tetapi, yang payahnya – pembiayaan pulak yang mahal sebab selalunya “car financing rate” lebih tinggi untuk kereta terpakai berbanding kereta baru.

Jadi bila patut beli kereta baru? Dan, bagaimana?

Sebaiknya, bila ada simpanang yang lebih – contohnya, untuk menampung 3-6 bulan perbelanjaan bulanan.

Selebihnya, rancang supaya boleh bayar wang pendahuluan (deposit) kereta tinggi. Masalahnya di Malaysia, susah jugak nak simpan duit.

Sambil tu cuba dapatkan “rate financing” yang rendah. Alangkah baik kalau ada tawaran 0% – tapi, bank pun nak cari makan. Jadi, kalau dapat kadar 2-3% pun dah cukup baik.

Tambah lagi, kadar pulangan dari akaun simpanan dan semasa di Malaysia amat rendah. Baik digunakan untuk melabur atau membayar lebih hutang-hutang yang sedia ada.

Yang penting, biarlah pembelian itu memenuhi keperluan sahaja. Bukan sekadar ikut kemahuan.

Beli ikut kemampuan. Rancang dan negotiate supaya bayaran bulanan yang rendah – mengikut keperluan budget bulanan.

Selamat merancang,
Ayah.biz

Posted by: ayah.biz | Januari 11, 2010

Boleh keluar syer Bank Persatuan

Berita baik – Boleh keluar syer Bank Persatuan!

Ahli-ahli Koperasi Bank Persatuan boleh mengeluarkan sebahagian dari syer anggota selepas setahun menjadi ahli dan baki syer mesti melebihi RM500.

Selamat melabur,
Ayah.biz

*** dipetik dari web Bank Persatuan pada 11 Januri 2010
Aturan Aturan Pengeluaran Sebahagian Syer Anggota

Merujuk kepada perkara di atas, sukacita dimaklumkan bahawa Anggota Lembaga Bank Persatuan melalui mesyuarat pada 19 Januari 2009 telah bersetuju untuk mewujudkan “Aturan-aturan Pengeluaran Sebahagian Syer Anggota”. Aturan ini telah dibentang dan diluluskan di dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Khas Bank Persatuan pada 15 Ogos 2009 lalu.

Tujuan Aturan-aturan Pengeluaran Sebahagian Syer Anggota ini diwujudkan adalah untuk memberi kemudahan kepada anggota-anggota Bank Persatuan yang memerlukan sumber kewangan.

1.0   Syarat Dan Kelayakan
1.1    Setiap anggota individu dan koperasi yang telah menjadi anggota genap 1 (satu) tahun
adalah layak memohon pengeluaran sebahagian syer yang dimilikinya.

1.2    Had Pengeluaran

1.2.1    Jumlah pengeluaran syer hanya boleh dilakukan dengan baki syer tidak kurang dari
had minimum menjadi anggota seperti berikut :

(i)   Anggota Individu RM   500.00
(ii)  Anggota koperasi RM3,000.00
1.2.2    Pengeluaran syer hanya boleh dilakukan sekali di dalam tempoh 1(satu) tahun
daripada tarikh menjadi anggota ataupun daripada tarikh pengeluaran syer
terdahulu.

1.3    Bagi anggota-anggota yang telah mengeluarkan sebahagian syer di  atas adalah     tiada
sebarang tegahan untuk melakukan bayaran tambahan syer anggota     masing-masing dari
semasa ke semasa tertakluk kepada had tambahan maksima     syer anggota yang dibenarkan.

1.4    Jumlah  minima syer yang dipohon untuk pengeluaran hendaklah  tidak kurang dari RM100.00
(Ringgit Malaysia : Seratus Sahaja)  bagi setiap kali pengeluaran.

1.5    Jumlah maksima syer yang dipohon untuk pengeluaran hendaklah tidak melebihi RM50,000.00
(Ringgit Malaysia : Lima Puluh Ribu Sahaja) bagi setiap kali pengeluaran.

1.6    Pengeluaran sebahagian syer ini adalah tertakluk kepada peruntukan Undang-undang Kecil 57
dan 58 Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad

2.0   Kelulusan Dan Pembayaran

2.1    Permohonan pengeluaran sebahagian syer mestilah dengan melengkapkan borang
permohonan dan boleh dibuat melalui mana-mana cawangan Bank Persatuan.

2.2    Jumlah pengeluaran sebahagian syer anggota adalah tertakluk kepada kelulusan Anggota
Jawatankuasa Kerja Bank Persatuan terlebih dahulu.

2.3    Tempoh pembayaran pengeluaran syer kepada anggota yang berkenaan adalah di dalam
tempoh selewat-lewatnya 1 (satu) bulan daripada tarikh permohonannya diluluskan

3.0  Tarikh Kuatkuasa

Permohonan pengeluaran sebahagian syer anggota ini adalah berkuatkuasa serta-merta pada tarikh memorandum ini. Permohonan bagi pengeluaran sebahagian syer anggota ini mestilah dengan melengkapkan Borang Permohonan Pengeluaran Sebahagian Syer (PSSA). Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar  ke Bahagian Operasi Dan Keanggotaan, Ibu Pejabat untuk kelulusan.
Posted by: ayah.biz | Januari 11, 2010

Kisah benar: Berbalah kerana harta pusaka

Komen untuk kita sama-sama fikirkan:

1) Harta yang dibahagikan sebelum kematian tidak termasuk sebagai harta pusaka.

Ini boleh dilakukan menerusi dokumen wasiat dan perlantikan wasi.

2) Si ibu sebenarnya berhak ke atas harta sepencarian.

Oleh itu, para suami cepat-cepatlah buat dokumen harta sepencarian supaya nasib isteri-isteri terjaga.

Ini kerana harta sepencarian tidak perlu dibahagikan sebagai harta pusaka apabila si suami meninggal (dan sebaliknya).

3) Dalam situasi ini, boleh dipanggil satu mesyuarat keluarga. Terangkan balik hukum hakam, minta maaf bagi pihak arwah si bapa dan halal dari waris-waris yang lain. Tiba masanya, si ibu dan anak-anak betulkan keadaan – semoga Allah melindungi arwah si bapa.

Yang penting, jangan kita abaikan kesepakatan sebuah keluarga.

-Ayah.biz-

========

ARKIB : 20/12/2009

Berbalah kerana harta pusaka

www.dcckmona.com
dcckmonaum@hotmail.com

PENGALAMAN pahit yang saya lalui ini rasanya banyak berlaku dalam masyarakat kita, tetapi kita sering mengambil mudah dan menyifatkannya perkara itu betul, sedangkan ia tidak betul dan menyalahi hukum.

”Lebih malang lagi apabila kita ingin memperbetulkannya dan cuba menerangkan apa yang sepatutnya dilakukan kita pula dipersalahkan, dan dituduh mahu membolot harta pusaka yang dimilikinya.” Demikian cerita Shazleena ketika ditemui baru-baru ini.

”Ramai kalangan anak-anak tidak mahu bertindak takut dituduh anak durhaka. Ayah saya sudah meninggal dunia lebih 20 tahun lalu, waktu itu saya dan tiga orang kakak dan abang saya telahpun berkahwin tinggal dua orang masih belajar.

”Hidup emak tidaklah susah sebab ayah tinggalkan sebuah rumah untuk emak dan adik-adik tinggal, emak dapat pencen ayah serta ada pendapatan dari dua buah rumah sewa di atas tanah pusaka yang ayah miliki.

”Waktu itu saya masih muda tak banyak tahu tentang proses harta pusaka dan sebagainya jadi saya tak ambil kisah. Lagi pun kami rasa sudah selesa mempunyai rumah sendiri, ada suami dan anak-anak kami rasa tak ada apa yang patut kami fikirkan.

”Sementara emak kalau pun makan hasil duit rumah sewa peninggalan ayah itu biarkan itu kerana harta peninggalan ayah itu memang sudah menjadi milik emak. Malah kami bantu emak setiap bulan sekadar yang termampu supaya emak boleh terus hidup senang walaupun ayah sudah tidak ada lagi.

”Kini, setelah lebih 20 tahun ayah meninggal, dan umur kami semakin meningkat sementara keadaan emak yang sering sakit, ditambah pula dengan masalah dari rumah sewa pusaka ayah di atas tanah pusaka yang dimikili ayah membuatkan saya sedar dan rasa keadaan dan kesilapan ini perlu diperbetulkan.

”Malangnya bila saya cuba berterus terang, dan menceritakan kepada emak apa yang sepatutnya dilakukan tentang harta pusaka ayah, emak sudah salah sangka terhadap saya, adik saya pulak yang selama ini menguruskan duit rumah sewa pun mula berbunyi menyalahkan saya, konon nak bolot harta emak.

”Masalah itu tidak di situ sahaja, malah adik cuba menarik perhatian adik-beradik yang lain dengan cerita salah. Akhirnya kakak saya bertanya apa hal saya cuba menyakiti hati emak. Setelah saya terangkan keadaan sebenar barulah mereka faham.

kehidupan

”Saya beri contoh atas apa yang berlaku dalam keluarga sepupu saya barulah mereka faham. Contoh mudahnya, setelah sepupu kami meninggal dunia, kehidupan anak-anaknya terbiar bila balunya kahwin lain. Ramai yang bercakap pasal hak anak-anak yatim yang tinggal kerana balunya lebih banyak menyenangkan hidup suami barunya daripada anak-anak sendiri. Sedangkan dia dapat pencen, insuran arwah suaminya.

”Selepas tiga tahun menjadi balu dia kahwin lain dan membeli kereta baru untuk suami barunya, sementara anak-anak yang masih bersekolah rendah sering mengadu tak berduit kepada neneknya. Nenek yang susah bertambah susah.

”Apa yang saya ingin ceritakan kepada mereka bahawa setelah ayah meninggal bukan semua harta pusaka yang ditinggalkan oleh ayah menjadi milik emak, sebaliknya lebih banyak kepada anak-anak, emak dapat satu perlapan sahaja. Tetapi apa yang berlaku dulu bukan bermakna emak makan harta yang tak betul, harta anak yatim, tetapi waktu itu kita tak tahu. Sementara emak melakukan seperti apa yang dilakukan oleh kaum wanita sebelumnya, nenek moyangnya dahulu. Dan kita anak-anak tak pernah salahkan emak sebaliknya membantu emak.

”Tetapi setelah kita tahu hokum hakamnya sekarang maka kita wajib betulkan. Sebab ditakdirkan emak meninggal dunia nanti, ia akan lebih memudahkan lagi pembahagian pusaka kepada anak-anak.

”Keadaan lebih teruk lagi kerana rumah sewa yang ayah tinggalkan di bina di atas tanah pusaka peninggalan ayahnya, yang kemudian diberikan kepada ayah dan kemudian ditinggalkan kepada kami.

”Masalahnya sekarang tanah yang dulunya tidak berharga kini menjadi amat berharga setelah kerajaan membina lebuh raya bersebelahan. Cucu cicit mula mempersoalkan hak mereka. Mereka memang berhak tetapi siapa yang boleh menguruskan perkiraan pembahagian harta pusaka itu cara yang betul, sebab anak dan cucu moyang semuanya telah meninggal dunia, kini yang tinggal cuma cicit-cicitnya sahaja.

”Lebih malang lagi dalam geran tanah tersebut tidak tersebut nama datuk apalagi nama ayah kami atau adik-beradik datuk yang lain. Yang ada cuma nama moyang kami. Takke parah itu! Menurut cerita moyang banyak tanah sudah diberikan kepada enam orang anaknya, yang ada sekarang hak datuk kami seorang yang kemudian diberikan pada anak-anaknya termasuk ayah kami.

”Tetapi disebabkan tidak ada nama datuk dalam geran yang usang itu, maka adik- beradik datuk yang lain, mengikut lojiknya juga berhak atas tanah tersebut. Bayangkan datuk ada enam beradik, setiap seorang ada beberapa orang anak, kemudian anak-anak tersebut telah mempunyai beberapa orang anak cucu. Parah! Memang parah!

”Sekarang macam mana kami boleh menolak tuntutan sepupu, dua pupu dan tiga pupu kami yang lain ke atas tanah yang ayah telah bina rumah sewanya. Kerana selama ini ayah beritahu, tanah seekar di hilir itu miliknya pemberian ayahnya, selebihnya seluas 5 ekar lagi adalah milik adik-adik ayah yang lain, setiap seorang dapat seeker.

”Zaman dulu orang tua-tua berikan tanah berdasarkan kepercayaan siayah kepada anak-anaknya. Zaman sekarang orang mahu lihat nama siapa yang tertera. Tak ada nama sesiapa pun boleh tuntut.

”Jadi siapa di kalangan cucu cicit arwah moyang kami yang mahu berusaha memecahkan kebuntuan ini. Mencari siapa yang lebih berhak supaya tidak ada pergaduhan, perbahalan dan rasa kecil hati? Manalah tahu ada yang marah bakar rumah sewa ayah.

”Kerana itulah juga saya tak mahu masalah berlaku dalam keluarga kami. Sekarang emak suruh adik kutip duit sewa rumah, ditakdirkan emak tak ada nanti kita tak mahu adik mengambil semuanya, kerana bukan haknya, kita tak mahu dia makan duit haram. Biarpun sedikit ia mesti diberi secara saksama dan dalam pengetahuan waris. Kecuali kita berikan hak kita kepadanya, kerana kesiankan dia.

”Rumah peninggalan ayah pun bukan milik emak sepenuhnya, ia juga menjadi milik kami anak-anak semua, jadi kami mesti mendapat pembahagian sewajarnya. Kalau pun adik mahukan rumah tersebut, ia mesti dinilai harganya kemudian dibahagi lima beradik. Baru betul! Saya bukan tamak tetapi menegakkan kebenaran supaya tak ada sesiapa yang berdosa memakan harta yang bukan miliknya.

”Tapi yang payahnya fahaman emak sendiri yang merasakan bila suaminya mati semua harta jadi miliknya. Nasib emak tak kahwin lain. Kalau dia ada suami baru macam mana kalau suaminya mahu memiliki semua harta peninggalan ayah. Bukankah itu salah dan berdosa namanya. Malangnya kejadian seperti ini masih berlaku dalam masyarakat kita. Dan sukar dihapuskan, tujuan saya paparkan masalah ini, supaya kita sama ingat mengingatkan, jangan jadi macam saya, kini mula dipandang serong oleh adik beradik sedangkan saya mahu mereka mencari kebenaran.” Demikian cerita Shazleena.

Memang sukar membetulkan keadaan yang sudah lama berakar berumbi dalam diri kita. Terutama bila ada isu bersangkut ringgit dan sen. Sedangkan kita ingin hidup mereka selamat di dunia dan akhirat. Jasad diterima oleh bumi dan diterima ke langit

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1220&pub=utusan_malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm&arc=hive

Posted by: ayah.biz | Januari 7, 2010

Tuntut harta sepencarian

ARKIB : 01/01/2010

Tuntut harta sepencarian

SOALAN:

Saya telah bercerai dengan bekas suami lebih kurang 3 tahun. Sejak bercerai, suami langsung tidak pernah memberi nafkah anak termasuk nafkah idah saya.

Bekas suami saya seorang yang panas baran dan sering memukul saya semasa kami masih menjadi suami isteri.

Semasa perkahwinan, suami ada membeli sebuah rumah tetapi nama saya tidak dimasukkan sebagai pembeli bersama namun, saya ada mengeluarkan wang saya bagi pembelian rumah itu juga mengambil pinjaman peribadi bagi pengubahsuaian rumah tersebut dan masih menanggung hutang pinjaman peribadi itu.

Bolehkah saya mendapatkan hak saya dan anak-anak dan menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian? Harap pihak puan dapat memberikan jalan dan panduan yang saya boleh gunakan bagi mendapatkan semula hak saya dan anak-anak yang selama ini tidak terbela.

JAWAPAN:

Calar fizikal boleh diubati namun calar emosi akibat keganasan rumah tangga memerlukan masa untuk pulih. Sesebuah bahtera perkahwinan tidak terlepas dari hayunan ombak dan badai.

Bagaimanapun, dalam apa jua keadaan, Islam tidak menghalalkan penganiayaan suami ke atas isteri. Bagi rumah tangga yang tidak boleh diselamatkan, penceraian adalah jalan terbaik. Puan telah mengambil jalan yang sewajarnya dengan melangkah keluar dari penderaan.

Segelintir kaum Adam beranggapan bahawa mereka bebas daripada tanggungjawab sebagai suami dan bapa selepas terlerai ikatan perkahwinan dengan isteri.

Realitinya, tanggungjawab mereka tidak berakhir di saat talak dilafazkan. Isteri yang diceraikan dan anak-anak masih mempunyai hak-hak yang perlu disempurnakan oleh seorang lelaki dalam kapasitinya sebagai bekas suami dan bapa.

Antara hak yang boleh dituntut seorang bekas isteri adalah nafkah idah. Ini bersandarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”.

Secara ringkasnya, hadis ini menggariskan bahawa seorang suami wajib membayar nafkah idah dan menyediakan tempat tinggal ketika bekas isteri di dalam tempoh idah.

Dalam kata lain, hak-hak ini adalah tertakluk kepada had masa idah mengikut ketetapan syarak.

Berdasarkan Surah Al-Baqarah, ayat 228 yang bermaksud: “Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru“, had masa idah yang ditetapkan oleh Islam adalah selama tiga quru atau tiga kali suci daripada kitaran haid. Puan ada menyatakan bahawa puan telah bercerai dengan bekas suami selama lebih kurang tiga tahun.

Walaupun Puan tidak menuntut nafkah ketika dalam tempoh idah, hak ini tidak luput dan masih boleh dituntut lagi kerana ia dianggap sebagai hutang dan selagi ia tidak berbayar maka ia dianggap tertunggak dan terhutang. Ini juga menurut, seksyen 65(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) dengan jelasnya menyatakan ‘Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh idah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz’.

Bekas suami puan juga masih berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anaknya. Putusnya ikatan perkahwinan tidak bermaksud putusnya pertalian seorang bapa dengan anak-anaknya. Surah Al-Baqarah, ayat 223 menyebut: “. . . dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil“. Intipati ayat ini dimaktubkan dalam S.72 yang mewajibkan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak, tidak kira sama ada anak-anak itu di bawah jagaannya atau orang lain.

Seksyen ini turut menetapkan bapa perlu menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran atau sebagai membayar kos kepada perkara-perkara tersebut.

Seksyen 59(1) mendefinisikan nafkah sebagai ‘. . . tempat tinggal, pakaian, makanan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya’.

Sebagai seorang yang berpendapatan tetap, mahkamah akan mempertimbangkan beberapa faktor seperti gaji bekas suami serta jumlah kewangan yang diperlukan anak-anak setiap bulan. Di samping itu, seksyen 62 turut memperuntukkan mahkamah kuasa untuk meminda perintah nafkah dan jika dia tidak mampu atau tidak dapat dikesan, mahkamah boleh memerintahkan keluarga bekas suami untuk memberi sumbangan nafkah di bawah seksyen 73(2).

Puan turut menyatakan bahawa puan menghadapi kesulitan dalam isu harta sepencarian. Tuntutan harta sepencarian adalah suatu perkara yang lazim berlaku selepas penceraian.

Harta sepencarian boleh diertikan sebagai harta alih atau tidak alih yang diperolehi secara bersama oleh suami dan isteri ketika di dalam ikatan perkahwinan berlandaskan hukum syarak.

Rumah kelamin walaupun tanpa ada nama puan adalah merupakan harta sepencarian. Menerusi seksyen 58, mahkamah berkuasa memerintah aset-aset yang diperolehi oleh pihak-pihak dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Antara faktor-faktor yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah adalah takat sumbangan pihak-pihak. Sumbangan ini boleh berbentuk wang seperti belanja pengubahsuaian, harta, atau kerja seperti menjaga rumah tersebut agar berterusan dalam keadaan baik. Seterusnya, mahkamah juga akan melihat pada hutang salah satu pihak yang telah diambil bagi manfaat bersama.

Oleh itu, jelas bahawa harta sepencarian memerlukan pembuktian yang kukuh. Adalah perlu bagi puan mengemukakan bukti-bukti pembayaran yang dibuat ke atas rumah tersebut. Ini termasuklah bayaran hutang dan juga pembayaran bagi pengubahsuaian yang telah dengan jelasnya menaikkan taraf rumah tersebut.

Pengemukaan bukti-bukti akan membantu dalam memperkasakan lagi tuntutan puan.Bekas suami puan tidak boleh menafikan hak-hak puan dan anak-anak.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm

Posted by: ayah.biz | Januari 5, 2010

Industri tani jadi ‘mesin wang’

Industri tani jadi ‘mesin wang’

KUALA LUMPUR 4 Jan. 2010 – Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.

Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

“Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori,” katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn. Bhd. pada tahun 1996.

Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu berkata, beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn. Bhd. dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.

Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

”Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam,” katanya.

Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan 3.0 tan kerepek ubi kayu sehari.

Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersial di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya, potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

“Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau,” katanya ketika ditemui di ladangnya.

Beliau berkata, pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.

Menurutnya, ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.

Mahathir hari ini berkata, kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu.

“Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing,” katanya.

Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal, Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

“Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor,” katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim berkata, pada 2008 Malaysia terpaksa mengimport daging lembu sebanyak 103 ribu tan berjumlah RM883.9 juta sementara daging kambing pula 18 ribu tan bernilai RM188 juta.

Menurut beliau Sarawak dan Sabah berpotensi untuk dijadikan pusat ternakan lembu dan kambing secara komersial kerana Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia mengiktiraf Pulau Borneo sebagai pulau bebas penyakit kuku dan mulut haiwan. – Bernama

Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Posted by: ayah.biz | Januari 2, 2010

Jangan takut papa apabila bersedekah

Ayah.biz: Artikel lama dari Utusan tapi baik untuk kita hayati kandungannya. Semoga membawa manfaat.

Jangan takut papa apabila bersedekah


Source: Utusan Malaysia Online
Tuesday, December 18, 2007

ALLAH berfirman: Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (di dunia akan) kebahagiaan di akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (dari kenikmatan) duniawi… (al-Qasas: 28)

Islam tidak menghalang umatnya mencari harta kekayaan untuk memastikan kehidupan yang selesa di dunia yang sementara ini.

Bagaimanapun, dalam ayat di atas, Allah mengingatkan umat Islam bahawa harta itu adalah cubaan kepada pemiliknya.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual timbalan Dekan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd. Nidzamuddin Zakaria bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apakah konsep pemilikan harta menurut Islam?

Konsep pemilikan harta ini bermaksud syariah Islam memberikan kuasa dan autoriti yang sepenuhnya kepada seseorang Muslim itu untuk memiliki dan menguruskan hartanya tanpa sebarang halangan selagi ia berlandaskan hukum-hukum syarak dan berpaksikan kejelasan niat yakni mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dalam setiap acara kehidupan kita. Ini adalah kerana Islam adalah agama yang tidak menolak dunia dan tidak juga mengenepikan kepentingan harta manusia.

Al-Quran sendiri menyebutkan perihal harta ini sebanyak 80 kali. Para sahabat pula bukan hanya golongan fakir dan miskin, malah ada segolongan mereka yang sangat mantap ekonomi dan terkenal dengan kekayaan mereka seperti Abu Bakar as-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Suhaib al-Rumi dan lain-lain, pada masa yang sama, mereka adalah penderma dan penyumbang utama kepada proses dakwah Islam, pembangunan masyarakat dan pembangunan negara.

Jadi, Islam memandang peri pentingnya keseimbangan urusan dunia dan akhirat, hal ehwal ekonomi dan ibadat. Ini terserlah melalui doa mathur Nabi s.a.w. bermaksud: Ya Allah, perbaikilah urusan agamaku yang menjadi pegangan bagi setiap urusanku. Perbaikilah duniaku yang di situlah urusan kehidupanku. Perbaikilah akhiratku yang ke sanalah aku akan kembali. Jadikanlah hidupku ini sebagai tambahan kesempatan untuk memperbanyak amal kebajikan dan jadikanlah kematianku sebagai tempat peristirahatan dari setiap kejahatan.

Apakah pula tanggungjawab Muslim terhadap hartanya?

Semua orang mengidamkan kemewahan, kekayaan dan kekuasaan. Namun, berapa ramaikah yang bersedia memikul tanggungjawabnya dan menginsafi beratnya penghisaban Ilahi di padang raksasa bernama Mahsyar kelak? Inilah yang dikatakan sebagai akauntabiliti yang perlu ada dan disedari setiap Muslim hartawan berdasarkan peringatan Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat sehingga dia disoal empat perkara, iaitu; tentang usianya, pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya untuk apa telah dipergunakannya, tentang hartanya dari mana diperoleh dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah diamalkannya.” (riwayat al-Tirmizi).

Ringkasnya, tanggungjawab Muslim terhadap hartanya ada dua iaitu; Pertama, Mencari harta yang halal dan baik untuk diri dan keluarganya. Kedua, membelanjakan harta yang halal itu ke jalan Allah s.w..t termasuk memberi nafkah keluarga, menunaikan zakat, memberi bantuan atau derma kepada golongan kurang bernasib baik, menggunakannya untuk urusan ibadat tertentu (seperti haji dan umrah) dan lain-lain.

Harta adalah suatu yang disayangi oleh manusia. Bagaimana hendak melatih diri supaya menjadi orang yang berharta tetapi pemurah?

Tidak mengapa kita menyayangi harta dan tidak salah juga kita memiliki rumah yang besar, kenderaan yang hebat dan harta benda yang banyak. Namun biarlah semua itu hanya berada dalam pemilikan diri kita secara lahiriah dan bukan melekat di hati kita secara batin.

Ini adalah kerana, kalau harta sudah menakluki hati dan jiwa raga kita, maka sirnalah perasaan perhambaan kita pada Allah Yang Maha Kaya yang merupakan Pemilik Mutlak harta benda kita, lalu kita akan mendabik dada dan megah dengan ‘kekayaan kita’, wal’iazubillah.

Baginda pernah bersabda: Perumpamaan orang yang pemurah dan orang yang bersedekah seperti seorang lelaki yang memakai dua helai jubah atau dua helai baju besi bermula dari dadanya sehingga ke atas. Apabila orang yang pemurah apabila ingin memberi sedekah, maka baju itu longgar buatnya. Orang bakhil pula, apabila ingin bersedekah, maka baju itu menjadi rimas dan panas sehingga menutupi jari-jarinya dan tidak mampu melonggarkannya. (riwayat Bukhari)

Oleh itu, insafilah bahawa diri dan harta kita hanyalah pinjaman. Itulah harta kita selagi nyawa di kandung badan dan bukan apabila nyawa telah meninggalkan badan. Gunakanlah kekuatan jiwa dan akal kita untuk melawan nafsu serakah yang menggila dan terlalu cintakan harta. Ingatlah bahawa setiap harta yang dibelanjakan di jalan-Nya dijamin keberuntungan di dunia dan kebajikan yang berlipat ganda di akhirat sana. Usah dihiraukan berapa jumlah yang didermakan tapi yang penting ialah tindakan memberi sumbangan bakti tanpa ditangguh-tangguh lagi.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Satu dirham telah berjaya mendahului seratus ribu dirham! Seorang lelaki mempunyai dua keping dirham lalu ia mengambil satu daripadanya untuk disedekahkan manakala seorang lelaki lain pula (selepasnya) memiliki harta yang banyak, lalu mengeluarkan seratus ribu dirham dan bersedekah dengannya.” (riwayat al-Tirmizi)

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa niat yang ikhlas adalah teras utama amalan sedekah ini dan syarat terpenting ia diterima di sisi Allah s.w.t. lantaran sifat menunjuk-nunjuk itu hanya akan meranapkan ganjaran pahala ibadat itu sendiri.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyebut antara lainnya: “Sesungguhnya sedekah itu dapat mencegah kemurkaan Tuhan dan menjauhkan diri daripada kematian yang buruk”. Apakah pengajaran daripada hadis riwayat Tirmizi ini?

Hadis ini menegaskan bahawa amalan bersedekah amat dikasihi Allah s.w.t. bahkan ia boleh memadam kemurkaan Allah terhadap dosa-dosa yang dilakukan hamba-Nya. Sebab itulah Baginda dalam hadis yang lain menegaskan bahawa: Takutlah neraka walaupun dengan hanya menderma sebelah buah kurma. (riwayat Bukhari)

Lantaran sedekah itu dipandang mulia di sisi Allah s.w.t dan boleh menyelamatkan seseorang dari azab neraka Allah. Hadis ini juga menjelaskan bahawa fadilat amalan bersedekah antara lain menurut para ahli Hadis dapat menghindarkan diri seseorang daripada kematian yang buruk seperti kematian akibat kebakaran, kelemasan, kemalangan jalan, ditimpa bangunan atau dirasuki syaitan dan sebagainya.

Dalam al-Quran, Allah menyatakan yang harta itu adalah cubaan bagi manusia. Berdasarkan firman Allah: Sesungguhnya hartamu dan anak-anak hanyalah cubaan bagimu dan di sisi Allahlah pahala yang besar. (al-Taghabun: 15). Apakah maksud cubaan di sini?

Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya ada menghuraikan maksud cubaan ini secara terperinci. Secara asasnya, cubaan itu adalah ujian yang dikenakan oleh Allah s.w.t. terhadap hamba-hamba-Nya untuk melihat siapakah yang melakukan taat atau maksiat terhadap-Nya melalui harta benda dan anak-anak tersebut. Kita tidak boleh melarikan diri kita daripada fitnah dan ujian ini, namun kita dituntut mengendalikan secara saksama dan bijak.

Imam Ahmad dalam kitab musnadnya ada merakamkan suatu peristiwa semasa Rasulullah s.a.w. sedang memberikan khutbah, tiba-tiba jatuh dua orang cucu kesayangan Nabi bernama Hasan dan Husin yang berpakaian serba merah ketika berjalan di hadapan Baginda lalu Nabi bersabda: “Benarlah firman Allah bahawa hartamu dan anak-anak hanyalah cubaan bagimu.”

Justeru, janganlah sampai kesibukan mengumpulkan harta benda dan keasyikan melayan kerenah anak-anak melekakan kita daripada mengingati Allah. Contohnya berkelah atau membeli belah hingga lupakan solat. Malah, lebih berat lagi, sekiranya harta benda itu diperoleh secara haram dan digunakan dalam perkara-perkara yang maksiat lalu diberikan pula kepada anak-anak. Maka itulah satu ujian dan bala besar yang bakal menimpanya di hari kiamat kelak.

Apakah jaminan Allah kepada mereka yang berharta dan menginfaqkannya ke jalan Allah?

Jaminan Allah ini ada dinyatakan-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 261-262 yang bermaksud: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Jadi, usahlah ditakuti kepapaan di sebalik derma yang dilakukan dan jangan pula dirisaukan balasan Tuhan setelah sedekah itu dihulurkan. Harta yang disedekahkan kerana Allah, di jalan-Nya dan untuk kemaslahatan agama dan umat Islam akan subur dan dilimpahi berkat serta pahalanya pula berkembang dan berpanjangan hinggalah di negeri akhirat nanti.

Sumber: http://kota.ibfim.com/index.php?option=com_content&task=view&id=1154&Itemid=179

Posted by: ayah.biz | Disember 31, 2009

Takaful di YouTube

Slide penerangan mudah mengenai konsep takaful di YouTube dari Pakistan.

http://www.youtube.com/watch?v=VFg1Yy-2xlo

NB: Dalam bahasa Inggeris.

Posted by: ayah.biz | Disember 28, 2009

Review hujung tahun

Review hujung tahun

Review kewangan peribadi dan keluarga amat baik dilakukan di hujung tahun, ketika kita bersemangat nak buat azam baru.

Antara perkara yang kita perlu teliti ialah:-

1) Ketahui dan nilai aliran tunai ( cash flow) anda

Ketahui kedudukan simpanan tunai dan jangka pendek anda sebagai persedian menghadapi sebarang kesulitan atau kecemasan.

Berapa bulan simpanan kecemasan kita ada?
Bagaimana nak bayar bil-bil besar seperti bayaran hospital, kereta dan lain-lain?
Secepat mana kita boleh keluarkan dana yang diperlukan?

Tindakan:
Fikirkan cara untuk memperbaiki aliran tunai
anda

2) Kaji profit rate, hibah dan kadar faedah yang anda perolehi dari simpanan-simpanan anda.

Kebiasanya simpanan 6 bulan gaji mencukupi sebagai simpanan kecemasan.

Laburkan simpanan  yang berlebihan di dalam akaun-akaun pelaburan Islamik yang memberi pulangan yang lebih menguntungkan.

Cuba penuhkan Tabung Haji, atau melabur sebagai ahli di bank koperasi seperti Bank Persatuan.

Mula belajar dan berjinak-jinak dengan membeli saham terus. Dengan kemudahan online trading, ia lebih mudah!

Tindakan:
Ubah simpanan berlebihan ke aset pelaburan yang berlandaskan shariah dan lebih menguntungkan.
Buka akaun CDS untuk mula membeli saham.


3) Masih “bayar diri kita sendiri dahulu”?

Jika ya, sudah tentu nilai aset anda seperti nilai pegangan rumah, saham dan perniagaan, bertambah.

Jika tidak dimana silapnya – belajar dari kejayaan dan juga kesilapan anda supaya tahun 2010 anda lebih maju.

Tambah portfolio pelaburan anda. Dengan sistem online trading, pembelian unit trust dan saham lebih mudah.

4) Bertindak untuk kurangkan Liabiliti anda

Berjayakah kita untuk kurangkan liabiliti dan hutang-hutang seperti kereta, kad kredit, rumah dan lain-lain.

Nilai semula perbelanjaan supaya anda boleh mula bayar lebih hutang-hutang yang tinggi interest atau profit rate sebelum tambah pelaburan.

5) Anda seorang Hero keluarga?

Apa akan jadi jika kita mati hari ini?
Sudahkah anda lindungi diri dan keluarga secukupnya?

Soalan-soalan ini memang tidak popular di kalangan masyarakat Melayu. Hakikatnya, kita perlu bersedia sebagai anak dan ibubapa yang bertanggungjawab.

Siapa bakal penjaga anak-anak yang ditinggalkan?

Sudahkah anda rancangkan dana untuk kebajikan anak-anak dan penjaga?

Sudahkah kita dokumenkan harta sepencarian untuk kemudahan isteri?

Sudahkah kita sediakan wasiat bagi membantu waris-waris yang ditinggalkan?

Tindakan:
Sertai sekurang-kurangnya SATU pelan takaful keluarga yang mempunyai manfaat kad perubatan seperti PruBSN Medical Card, Takaful Ikhlas IMAT dan Takaful Malaysia myMediCare.

7) Ada perubahan, perlu tambah portfolio perlindungan?

Anak baru, rumah baru atau gaji naik – antara perubahan-perubahan yang mungkin memerlukan perlindungan tambahan.

Anda boleh memilih untuk menyertai pelan takaful keluarga yang baru.

ATAU

menambah Rider seperti Manfaat Pembayar, Manfaat penyakit kritikal dan Manfaat kematian akibat kemalangan dan keilatan kekal dan lain-lain lagi untuk meningkatkan jumlah wang manfaat yang bakal diterima.

Ingat! Tambahan ini akan meninggikan sumbangan bulanan anda.

Anda juga, boleh kembangkan portfolio perlindungan dengan menyertai pelan Takaful Berkumpulan seperti Takaful Mutiara Plus (Bank Persatuan) atau Takaful Kasih (AgroBank) yang lebih rendah bayaran bulanan dan tinggi manfaatnya.

MRTT juga satu lagi pilihan untuk anda lindungi pembiayaan rumah.

Pastikan anda mulakan sekarang, walaupun sedikit. Pilihan di tangan anda!

Tindakan:
Pastikan sumbangan anda berterusan dan tambah pelan perlindungan Takaful.
Jangan lupa dokumen harta sepencarian dan wasiat anda!

8 ) Lengkapkan fail dan dokumen kewangan anda

Saya juga bersalah kerana kerap terlepas pandang hal ini. Pastikan anda kumpulkan semua dokumen penting dan buat beberapa salinan.

Ini akan memudahkan mereka yang akan menjalankan sebarang urusan selepas anda tiada.

Pastikan semua ini disimpan di tempat-tempat yang selamat.

9) Tunaikan amanah anda

Dalam kesibukan harian, kita mudah terlepas pandang tanggung jawab sosial seperti zakat, nazar, sedekah dan lain-lain.

Gunakan peluang ini untuk tulis apa yang anda perlu buat dan tetapkan bila anda akan melaksanakannya.

Cara paling mudah untuk mengira zakat wang simpanan ialah campurkan semua baki terendah (akaun simpanan, EPF, saham-saham, saham koperasi, unit trust dan lain-lain) dan bayar zakat pada kadar 2.5% sahaja.

Banyakkan bersedekah, dan tunaikan nazar secepat mungkin sekiranyna ada. Tak dilupakan pasangkan niat untuk pergi haji dan tambah tabungan anda.

10) Rancang dan uruskan cukai anda

Apa yang perlu anda lakukan? Rancang sebelum anda isi dan hantar borang self-assessment anda.

Gunakan peluang ini maksimakan perlepasan cukai yang disediakan oleh kerajaan. Antaranya, setiap tahun and berhak:-

membeli buku sehingga RM1000
menyumbang perlindungan takaful sehingga RM6000
melabur untuk pendidikan anak-anak sehingga RM3000
membayar bil-bil perubatan ibubapa sehingga RM5000

Dan jangan lupa rebat zakat jika anda sudah menunaikan tanggungjawab sosial anda.

NB: Manfaat-manfaat ini diberikan kepada setiap individu. Oleh itu, anda dan isteri akan mendapat “double” angka-angka ini.

Selamat tahun baru,
Ayah.biz

Posted by: ayah.biz | Disember 28, 2009

KWSP Perkenal Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia

KWSP Perkenal Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia
Simpanan Peroleh Dividen Tahunan Serta 5% Sumbangan Kerajaan

Mulai 3 Januari 2010, kebimbangan golongan yang bekerja sendiri seperti petani, nelayan, pemandu teksi, penjaja dan pemilik perniagaan terhadap ketidakcukupan simpanan semasa bersara bakal diatasi dengan pengenalan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia semasa pembentangan Bajet 2010 pada Oktober lepas berlandaskan kepada tanggungjawab sosial, dengan mengambil berat terhadap kebajikan semua peringkat rakyat yang bekerja sendiri iaitu kategori individu yang tidak mempunyai skim simpanan persaraan secara formal.  Skim ini bertujuan untuk memberikan perlindungan kewangan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap apabila mereka mencapai usia tua.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap ketidakcukupan simpanan persaraan yang menjadi kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan. Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia menawarkan golongan terpilih ini fleksibiliti dalam menentukan berapakah jumlah yang mampu disimpan untuk simpanan persaraan mereka,” kata Tan Sri Azlan Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP.

Tidak seperti skim simpanan KWSP yang biasa, amaun yang dicarumkan ke dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia adalah bergantung kepada tahap kemampuan pencarum sepenuhnya.

“Ahli boleh memilih untuk mencarum amaun minimum sebanyak RM50 sehingga RM5,000 sebulan sebagai simpanan persaraan mereka. Caruman adalah secara sukarela dan pencarum juga tidak perlu membayar caruman setiap bulan, ia bergantung kepada tahap kemampuan mereka,” tambah Tan Sri Azlan.

“Bagaimanapun, ahli digalakkan untuk mencarum sejumlah wang secara berterusan tidak kira berapa jumlahnya, ke dalam skim persaraan ini kerana disiplin amat perlu apabila menyimpan untuk persaraan.”

Simpanan di bawah skim ini akan menerima dividen tahunan mengikut kadar yang diumumkan KWSP sebagai tambahan kepada sumbangan kerajaan sebanyak 5 peratus dan tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun, selama 5 tahun bermula dari tahun 2010 hingga 2014.

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia ini terbuka kepada individu bekerja sendiri seperti penjaja, peniaga pasar malam, ejen hartanah, golongan freelance seperti deejay, instruktur kesihatan dan kecergasan (fitness instructors), penyanyi dan pelakon, serta pemilik perniagaan online.

Individu yang berminat untuk menyertai skim ini perlu mengisi Borang KWSP 16G(1M) yang boleh diperoleh di Cawangan KWSP seluruh negara atau memuat-turun dari laman web ini mulai 3 Januari 2010. Borang ini perlu dikembalikan ke Cawangan berdekatan KWSP atau melalui serahan mel.

Bagaimanapun, individu yang berminat dan masih belum menjadi ahli KWSP perlu berdaftar sebagai ahli KWSP terlebih dahulu dengan mengisi Borang KWSP 3 dan mengemukakannya kepada KWSP sebelum memohon menyertai skim ini.

Simpanan boleh didepositkan secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(2) di Kaunter Bayaran KWSP seluruh negara.

Ahli KWSP sedia ada yang telah bekerja sendiri turut layak memilih untuk menyertai skim baru ini.

Simpanan di bawah skim ini juga boleh dikeluarkan tertakluk kepada syarat dan prosedur semasa pengeluaran KWSP.

Untuk keterangan lanjut, sila klik di sini atau kunjungi Pejabat KWSP berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000.

Tarikh: 22 Disember 2009

Sumber: http://www.kwsp.gov.my/index.php?ch=p2news&pg=bm_p2news_press&ac=3030

Posted by: ayah.biz | Disember 26, 2009

Islamic insurance company Salaam Halal closes to new business

Berita tak baik untuk perkembangan kewangan Islam …

Bagaimana sebuah syarikat Takaful boleh ditutup?

Dari petikan berita di bawah, puncanya kerana Salaam Insurance kekurangan dana pelabur (shareholder fund) sebanyak GBP 20 juta.

Sehingga berita ini tersiar, Salaam Insurance baru sahaja melancarkan pelan Takaful rumah pada 8 Ogos 2009.

Persoalannya sekarang, apa terjadi selepas semua pelan takaful sedia ada tamat tempoh? Adakah Salaam Insurance akan terus ditutup – meninggalkan HSBC Amanah sebagai syarikat tunggal yang menawarkan kemudahan takaful di United Kingdom.

Pengajaran dari hal ini ialah kita perlu mengetahui latar belakang syarikat di dalam memilih syarikat takaful dan pelan-pelan yang sesuai untuk keperluan kita.

-Ayah.biz-
Islamic insurance company Salaam Halal closes to new business

The first Islamic insurance company to be launched in the UK has closed to new business after failing to raise enough capital to continue trading.

By Jamie Dunkley
Published: 9:18PM GMT 18 Nov 2009

Salaam Halal, launched last July, has written to suppliers and partners informing them it is now in “solvent run-off”. A note has also been placed on its web site revealing it is no longer accepting “new requests for insurance quotations”.

The company, which has 10,000 policyholders, said it is now looking for fresh investment and would honour all existing policies until they expire.

Salaam Halal’s parent company Principle Insurance Holdings raised £60m from investors across the Middle East and Malaysia when it was launched. However, Bradley Brandon-Cross, its chief executive, said the company had originally hoped to raise £80m, meaning it was left with a shortfall.

The insurer had approached the investors for more money, but found they had been hit by the global economic downturn.

Mr Brandon-Cross told the insurance trade magazine Post: “Regretfully, a recent rights issue did not produce sufficient funds to support the company’s continuation beyond the life of current customer policies.

“We had planned to raise some more, but unfortunately the Gulf states have been as badly impacted by the credit crunch as anywhere else. People there have invested on the New York and London stock markets, and property too. Since we stopped taking on new business we have had a number of enquiries from potential investors interested in continuing the firm, but these negotiations are at a very early stage.”

Salaam Halal sold “takaful” products, which are compliant with the Koran. This forbids the practice of interest, risk and speculative behaviour.

Instead, customers invest into a pool that pays out whenever a claim is made. Operating companies run the pools and invest their funds according to Islamic law.

Sumber: http://www.telegraph.co.uk/finance/newsbysector/banksandfinance/6600525/Islamic-insurance-company-Salaam-Halal-closes-to-new-business.html

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »

Kategori